Friday, January 6, 2012

Qawaid al-I'tiqad Imam Ghazali
Sumber:http://www.persidam.org/index.php?option=com_content&task=view&id=56&Itemid=93

قواعد الاعتقاد في التوحيد
Kaedah-Kaedah Kepercayaan (Iktiqad) Dalam Mentauhidkan Allah SWT
Karangan Hujjah al-Islam
Al-Imam Al-Ghazali
بسم الله الرحمن الرحيم
Muqaddimah
Kepujian bagi Allah SWT yang memulakan penciptaan dan mengulanginya semula. Dia yang melaksanakan apa sahaja yang diinginiNya. Dia yang mempunyai Arasy yang mulia dan azab yang pedih. Dia yang memberikan petunjuk kepada hamba-hamba pilihanNya ke jalan yang benar. Dia yang memberikan nikmat kalimah syahadah pengesaan Allah SWT dan memelihara aqidah-aqidah mereka daripada kegelapan, keraguan dan ketidakpastian. Dia yang mendorong mereka untuk mengikuti jejak rasul pilihanNya dan mengikut kesan-kesan peninggalan sahabat-sahabat yang merupakan manusia yang paling mulia dan dimuliakan dengan pertolongan dan kebenaran. Allah yang menzahirkan zatNya dan perbuatanNya kepada mereka dengan sifat-sifatNya yang indah. Sifat-sifatNya tidak mampu difahami melainkan oleh mereka yang menumpukan pendengaran dan menyaksikannya dengan mata hati.
Allah yang memperkenalkan keesaan zatNya tanpa sekutu. Dialah yang tunggal tanpa sesuatu yang menyamaiNya. Dialah tempat bergantung yang tidak mempunyai pesaing dan Dialah yang berseorangan tanpa sesuatu yang setara denganNya. Sesungguhnya Allah SWT ialah tuhan yang esa, qadim yang tiada awal, azali yang tiada permulaan, kewujudan yang berterusan tanpa penghujung, abadi tiada penghabisan, mendirikan alam semesta tanpa henti, sentiasa wujud tanpa pupus dan sentiasa bersifat dengan sifat-sifat keagungan. Tidak dihukumkan ke atasNya dengan penghujung dan perceraian dengan sebab berlalunya masa dan pupusnya zaman. Bahkan dia Allah yang awal, akhir, zahir, batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.
Penyucian
Sesungguhnya Allah SWT bukan jisim yang berbentuk dan bukan merupakan zarah yang bertepian dan berkadaran. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyerupai apa sahaja jisim daripada sudut perkadaran dan penerimaan pembahagian. Sesungguhnya Allah SWT bukan zarah dan zatNya tidak boleh menjadi tempat bagi zarah-zarah lain. Allah SWT bukan bersifat baharu dan tidak terletak padaNya sifat-sifat yang baharu. Allah SWT tidak menyerupai apa sahaja yang wujud dan dan segala yang wujud tidak menyerupainya. Bahkan tiada sesuatu yang menyerupaiNya dan Dia juga tidak menyerupai segala sesuatu. Sesungguhnya Allah SWT tidak dihadkan dengan perkadaran dan tidak dikelilingi dengan penjuru-penjuru. Tidak diliputi oleh arah-arah. Tidak ditanggung oleh lapisan bumi dan petala langit.
Sesungguhnya Allah SWT bersemayam di atas Arasy dengan bentuk yang dinyatakanNya dan dengan makna yang Allah SWT kehendaki. Bersemayam yang disucikan daripada bersentuhan, tidak bergerak, ketetapan, penurunan dan perpindahan. Allah SWT tidak ditanggung oleh Arasy, bahkan Arasy dan sekalian malaikat yang menanggungnya ditanggung oleh qudratNya dan berada di dalam kekuasaan genggaman Allah SWT.
Allah SWT di atas Arasy, langit dan di setiap sesuatu di atas muka bumi dengan keadaan yang tidak mendekatkanNya kepada Arasy dan langit sebagaimana tidak menjauhkanNya daripada bumi dan permukaannya. Bahkan Allah SWT yang amat tinggi kedudukanNya daripada segala yang berada di bumi dan permukaannya. Di samping itu, Allah SWT juga dekat dengan segala yang wujud dan Allah lebih dekat kepada hambaNya daripada urat tengkok hambaNya itu sendiri. Allah SWT Maha Menyaksikan segala sesuatu. Beriktiqadlah sedemikian kerana maksud Allah SWT dekat dengan sesuatu itu tidak sama dengan makna jisim-jisim yang berdekatan kerana zatNya tidak sama dengan segala zat-zat jisim. Allah SWT tidak turun terletak pada sesuatu sebagaimana sesuatu yang lain tidak boleh turun terletak pada zatNya. Maha suci Allah SWT daripada diliputi oleh tempat sebagaimana maha suciNya daripada dihadkan oleh masa. Bahkan kewujudan Allah SWT sabit sebelum penciptaan masa dan tempat. Allah SWT adalah dalam keadaanNya yang Maha suci daripada memerlukan kepada sesuatu. Sifat-sifat Allah SWT berbeza daripada segala makhlukNya. Tiada sesuatu yang lain wujud pada zat Allah SWT sebagaimana zatNya tidak wujud pada sesuatu yang lain. Allah SWT Maha suci daripada berubah-ubah dan berpindah tempat. Tidak terletak pada zatNya sesuatu zat mahupun sifat yang baharu. Bahkan Allah SWT sentiasa dalam sifatNya yang agung dan Maha suci daripada kebinasaan. Allah SWT juga sentiasa dalam sifat kesempurnaan dan Maha suci daripada bertambah sempurna. Kewujudan zat Allah SWT diketahui dengan akal. ZatNya dilihat kelak di akhirat dengan penglihatan sebagai suatu nikmat dan kurniaan kepada hambaNya yang taat semasa di dunia serta sebagai satu penyempurnaan nikmat dengan memandang kepada wajah Allah SWT yang Maha Mulia.
Sifat Hidup (الحياة) dan Kuasa (القدرة)
Sesungguhnya Allah SWT ialah tuhan yang hidup, berkuasa, gagah dan menguasai. Tidak bersifat dengan kekurangan dan lemah. Tidak mengantuk dan tidak tidur. Tidak binasa dan tidak mati. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai kerajaan zahir dan ghaib, keagungan dan kegagahan. Allah SWT memiliki kekuasaan, kekerasan, penciptaan dan perintah. Segala langit terlipat di tangan kanan Allah SWT dan segala makhluk tertakluk di dalam genggaman Allah SWT. Dialah yang bersendirian mencipta dan membentuk. Dialah yang berseorangan dalam penciptaan dan rekaan yang unik. Dialah yang mencipta makhluk dan segala perbuatan mereka. Dialah juga yang menentukan rezeki dan ajal mereka. Tiada sebarang makhluk yang terkecuali daripada genggamanNya. Urusan segala perkara tidak terlepas daripada qudratNya. Segala yang tertakluk di bawah qudratNya tidak dapat dihitung dan segala maklumatNya tidak terhingga.
Sifat Ilmu (العلم)
Sesungguhnya Allah SWT mengetahui segala maklumat. IlmuNya meliputi segala yang berlaku di permukaan bumi sehingga ke langit tertinggi. Segala sesuatu sama ada di langit atau di bumi hatta sebesar zarah sekalipun, tidak terlepas daripada ilmuNya. Bahkan Allah SWT mengetahui pergerakan seekor semut hitam di atas batu yang licin di malam yang amat gelap. Dia mengetahui pergerakan zarah di udara, perkara rahsia, lintasan hati, pergerakan kata hati dan segala rahsia-rahsia yang tersembunyi. Segala pengetahuanNya adalah daripada ilmuNya yang qadim dan azali di mana Allah SWT bersifat demikian sejak azali. PengetahuanNya bukan bersifat baharu dan pengetahuanNya tidak melalui ilmu yang wujud di zatNya secara mendatang atau berpindah.
Sifat Iradat (الإرادة)
Sesungguhnya Allah SWT berkehendak mencipta segala makhluk dan mentadbir segala yang baharu. Segala yang kecil, besar, banyak, sedikit, baik, jahat, manfaat, mudarat, iman, kufur, ilmu, kejahilan, kejayaan, kerugian, pertambahan, berkurangan, ketaatan, kemaksiatan sama ada di alam zahir atau ghaib tidak berlaku melainkan dengan qada`, qadar, hikmah dan kehendak Allah SWT. Apa sahaja yang Allah SWT kehendaki pasti wujud dan apa sahaja yang Allah SWT tidak kehendaki, pasti tidak akan berlaku. Setiap jelingan dan lintasan hati tidak terkeluar daripada kehendakNya. Bahkan Dialah tuhan yang memulakan penciptaan, mengulangi penciptaan dan melaksanakan segala yang Dia ingini. Tiada sesuatu yang mampu menolak hukumNya dan mengkritik ketetapanNya. Manusia tidak mampu lari daripada melakukan dosa melainkan dengan taufik dan rahmatNya. Tiada kekuatan bagi manusia untuk mentaatiNya melainkan dengan keinginan dan kehendakNya. Jikalau sekelian manusia, jin, malaikat dan syaitan bersepakat menggerakkan satu zarah di alam semesta atau mendiamkannya tanpa kehendak dan keinginanNya, nescaya mereka pasti lemah dan gagal melaksanakannya. Sesungguhnya kehendakNya ialah satu sifat yang wujud pada zatNya di samping sifat-sifatNya yang lain. Allah SWT sentiasa bersifat dengan berkehendak dalam mencipta segala sesuatu pada waktu-waktu yang ditetapkan semenjak dari azali. Segala-gala yang Allah SWT kehendaki wujud tepat pada waktunya sebagaimana kehendakNya semenjak azali tanpa terlewat atau terdahulu. Bahkan segala-galanya berlaku bertepatan dengan ilmu dan iradatNya tanpa bertukar dan berubah. Dialah yang mentadbir segala perkara tanpa mengatur pemikiran dan tanpa menunggu kehadiran masa. Oleh sebab itu, sesuatu urusan tidak menghalang Allah SWT daripada satu urusan yang lain.
Sifat Pendengaran (السمع) dan Penglihatan (البصر)
Sesungguhnya Allah SWT mempunyai pendengaran dan penglihatan di mana dengannya Allah SWT mendengar dan melihat. Segala yang didengari tidak terlepas daripada pendengaranNya sekalipun amat tersembunyi. Segala yang dilihat tidak terselindung daripada penglihatanNya sekalipun benda itu amat halus. Jarak yang jauh tidak menghalang pendengaranNya dan kegelapan tidak menghalang penglihatanNya. Allah SWT melihat tanpa bebola mata dan kelopak; mendengar tanpa lubang dan cuping telinga. Begitu juga Allah SWT mengetahui tanpa hati, melakukan sesuatu tanpa anggota dan mencipta tanpa alat kerana segala sifatNya tidak menyerupai sifat makhluk dan zatNya tidak menyamai zat makhluk.
Sifat Kalam (الكلام)
Sesungguhnya Allah SWT berkata-kata, memerintah, melarang, menjanjikan syurga dan neraka dengan kalam azali qadim yang wujud pada zat Allah SWT dan tidak menyerupai kalam makhluk. Kalam Allah SWT bukan suara yang wujud disebabkan oleh gelombang udara dan geseran jirim. Kalam Allah SWT juga bukan berhuruf yang terputus-putus disebabkan oleh rapatan bibir atau pergerakan lidah. Sesungguhnya al-Quran, Taurat, Injil, Zabur ialah kitab-kitabNya yang diturunkan ke atas rasul-rasul. Sesungguhnya al-Quran dibaca dengan lidah, ditulis di dalam mushaf dan dihafal di dalam hati. Namun kalam Allah tetap qadim dan wujud pada zat Allah SWT. Tidak menerima perpisahan, perceraian dengan berpindah ke hati manusia dan kertas. Sesungguhnya Nabi Musa mendengar kalam Allah SWT tanpa suara dan huruf sebagaimana hamba-hambaNya yang taat akan melihat Allah SWT yang tidak bersifat baharu dan tidak berzarah di akhirat kelak.
Apabila sabit Allah s.w.t. mempunyai segala sifaf-sifat tersebut, nescaya Dialah tuhan hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat, berkata-kata dengan sifat hidup, ilmu, kuasa, kehendak, pendengaran, penglihatan dan kalam bukan dengan semata-mata zat.
Perbuatan-Perbuatan Allah SWT (الأفعال)
Sesungguhnya segala yang wujud, melainkan Allah SWT, ialah makhluk yang baharu melalui perbuatan penciptaanNya, terlimpah dengan keadilanNya dengan bentuk yang terbaik, paling lengkap, paling sempurna dan paling seimbang. Sesungguhnya Allah SWT Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya, Maha Adil dalam kekuasaanNya. KeadilanNya tidak boleh disamakan dengan keadilan manusia kerana kezaliman boleh digambarkan pada diri manusia apabila menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran. Kezaliman tidak boleh digambarkan di sisi Allah SWT kerana segala perbuatanNya tidak melibatkan hakmilik pemilik lain yang menjadi punca kezaliman. Segala sesuatu, selain Allah SWT, di kalangan manusia, jin, syaitan, malaikat, langit, bumi, haiwan, tumbuhan, zarah, sifat baharu, segala yang didapati akal, disentuh; kesemuanya adalah makhluk baharu yang dicipta oleh Allah SWT dengan qudratNya daripada ketiadaan. Allah SWT menciptanya makhluk setelah sabit ketiadaannya kerana Allah SWT wujud berseorangan pada azali tanpa sesuatu yang lain wujud bersama-samaNya. Lalu Allah SWT mencipta makhluk untuk menzahirkan qudratNya dan merealisasikan kehendak dan kalimatNya yang azali. Allah SWT tidak mencipta segala-gala yang tersebut kerana keperluan dan berhajat kepadanya. Sesungguhnya Allah SWT mencipta, membentuk dan menurunkan hukum-hakam bukanlah kerana kemestian dan kewajipan ke atasNya bahkan hanya semata-mata kerana limpah kurniaNya. Begitu juga Allah SWT mengurniakan nikmat dan kemaslahatan bukan kerana kemestian ke atas diriNya, bahkan segala-galanya adalah limpah kurnia, kebaikan, kenikmatan dan pemberian semata-mata. Ini kerana Allah SWT berkuasa menurunkan pelbagai azab ke atas manusia dan menguji mereka dengan segala kesakitan dan keperitan. Jika Allah SWT melaksanakan sedemikian, nescaya perkara itu adil dan tidak dianggap buruk atau zalim. Sesungguhnya Allah SWT memberikan pahala ke atas ketaatan semata-mata kerana kemurahan dan janji baik. Tidak kerana manusia berhak dan wajib ke atasNya memberi pahala kerana tiada perbuatan yang wajib ke atasNya dan kezaliman tidak boleh tergambar di sisiNya. Sesungguhnya seseorang itu tidak boleh menuntut hak ke atasNya. Hak ketaatan yang dituntut oleh Allah SWT ke atas hambaNya datang menerusi pensyariatanNya melalui nabi dan rasul. Bukan difahami semata-mata dengan akal. Allah SWT mengutuskan rasul-rasul dan menzahirkan kebenaran mereka dengan mukjizat. Lantas mereka menyampaikan kepada manusia segala perintah, larangan, janji kenikmatan dan kesiksaan. Oleh itu, wajiblah manusia membenarkan mereka pada semua perkara yang mereka sampaikan.
Makna Kalimah Syahadah Kedua
Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan seorang nabi dari bangsa Quraisy, yang tidak tahu membaca dan menulis dengan risalahNya untuk seluruh manusia sama ada Arab atau bukan Arab, manusia dan jin. Syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad S‘AW membatalkan semua syariat terdahulu tetapi mengekalkan beberapa perkara. Allah SWT memberikan keutamaan kepada Nabi Muhammad S‘AW melebihi nabi-nabi yang lain. Allah SWT menjadikan Nabi Muhammad S‘AW sebagai penghulu kepada semua manusia sehingga Allah SWT menghalang kesempurnaan iman seseorang dalam kalimat syahadah, iaitu tiada tuhan melainkan Allah SWT, sehinggalah dia menyertakannya dengan penyaksian kenabian iaitu Nabi Muhammad S‘AW sebagai pesuruh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan manusia membenarkan Nabi Muhammad S‘AW dalam semua perkhabaran berkait hal-hal dunia dan akhirat.
[Perkara-Perkara Ghaib]
Sesungguhnya Allah SWT tidak menerima keimanan seseorang hamba sehinggalah dia meyakini perkara-perkara yang akan berlaku setelah kematian. Perkara pertama ialah soalan Munkar dan Nakir. Kedua-duanya ialah makhluk yang menakutkan, menggerunkan, mendudukkan si mati di dalam kubur sempurna dengan ruh dan jasad dan bertanya kepada si mati tentang tauhid dan perutusan nabi. Lalu kedua-duanya berkata: “Siapakah tuhan kamu, apakah agama kamu dan siapakah nabi kamu”. Kedua-dua malaikat ini ialah ujian yang amat berat di dalam kubur dan soalan kedua-duanya adalah ujian kubur yang pertama setelah kematian. Setiap muslim hendaklah beriman dengan azab kubur dan sesungguhnya azab tersebut benar dan menimpa jasad dan ruh sekaligus dengan segala bentuk yang dikehendaki oleh Allah SWT dan ketahuilah bahawa hukum Allah SWT amat adil. Individu muslim hendaklah meyakini kewujudan penimbang amalan yang mempunyai dua tapak penimbang dan lidah. Saiznya sama dengan saiz semua lapisan langit dan bumi. Segala amalan ditimbang di dalamnya dengan qudrat Allah SWT. Ukuran pengimbang timbangan pada hari tersebut amat halus iaitu sebesar zarah bertujuan untuk menzahirkan kesempurnaan pengadilan. Segala kitab amalan kebaikan dalam bentuk cahaya diletakkan di sebelah muka penimbang daripada cahaya, lalu penimbang menjadi berat dengan sebab kitab amalan tersebut berdasarkan darjat kedudukan di sisi Allah SWT. Ianya menjadi berat dengan semata-mata limpah kurnia daripada Allah SWT. Kitab-kitab amalan jahat diletakkan di muka penimbang daripada kegelapan lalu penimbang menjadi ringan dengan keadilan daripada Allah SWT. Individu muslim juga hendaklah beriman dengan kebenaran titian sirat. Ia merupakan jambatan yang dibentangkan di atas neraka jahanam. Jambatan yang lebih tajam daripada mata pedang dan lebih halus daripada rambut. Kaki-kaki orang-orang kafir akan tergelincir dengan kehendak Allah SWT lalu mereka terjatuh ke dalam neraka. Kaki-kaki orang beriman akan tetap di titian tanpa tergelincir dan terus dibawa ke syurga. Individu muslim juga hendaklah beriman dengan perigi Nabi Muhammad S‘AW yang didatangi oleh manusia lalu meminum airnya sebelum memasuki syurga setelah melintasi titian sirat. Sesiapa yang minum airnya tidak akan dahaga selama-lamanya. Keluasannya seluas langit. Terdapat dua saluran air daripadanya yang mengalir ke Kausar. Individu muslim juga hendaklah beriman dengan hitungan amalan dan perbezaan manusia semasa dihisab. Sebahagian mereka disoal siasat dengan terperinci, sebahagian yang lain diampunkan dan sebahagian yang lain masuk syurga tanpa dihitung. Mereka ialah manusia yang didekatkan kepada rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT akan bertanya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki di kalangan nabi-nabi tentang penyampaian risalahNya. Allah SWT juga akan bertanya kepada sesiapa sahaja daripada kalangan orang kafir tentang pendustaan rasul-rasul. Allah SWT bertanya kepada ahli bid’ah tentang sunnah dan bertanya kepada umat Islam tentang amalan mereka. Individu muslim juga hendaklah beriman dengan pelepasan manusia yang mentauhidkan Allah SWT daripada neraka semata-mata dengan limpah kurniaNya. Mereka dilepaskan setelah disiksa dan Allah SWT akan mengeluarkan mereka sehingga tidak tertinggal walau seorang pun di dalamnya. Individu muslim juga hendaklah beriman dengan syafaat daripada para nabi, ulama, syuhada’ dan semua orang beriman berdasarkan pangkat dan kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Sesiapa yang masih tertinggal tanpa pemberi syafaat akan dikeluarkan dengan rahmat Allah SWT. Setiap yang beriman walaupun keimanannya hanya sebesar zarah pasti akan dikeluarkan daripada neraka dan tidak akan kekal di dalamnya.
[Rentetan Iktiqad]
Individu muslim hendaklah beriman dengan kelebihan para sahabat dan perbezaan kedudukan mereka. Sesungguhnya yang paling mulia setelah Nabi Muhammad S‘AW ialah Abu Bakar. Kemudian Umar, Uthman dan Ali. Individu muslim juga hendaklah tidak bersangka buruk dengan sahabat-sahabat bahkan memuji mereka sebagaimana Allah SWT dan Nabi Muhammad S‘AW yang memuji mereka keseluruhannya.
Segala asas aqidah di atas dinyatakan oleh Sunnah dan disaksikan oleh nas-nas yang diriwayatkan. Sesiapa yang beriktiqad dengan kesemuanya dengan yakin nescaya dia tergolong dalam kumpulan yang benar dan pejuang Sunnah dan terhindar daripada kumpulan yang sesat dan bid’ah.
Maka kami memohon daripada Allah SWT keyakinan yang sempurna dan ketetapan dalam agama bagi kami dan semua muslimin. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih daripada segala pengasih. Moga-moga Allah SWT memberikan kerahmatan ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad S‘AW dan ke atas ahli keluarga dan seluruh sahabatnya.

No comments:

Post a Comment