Tuesday, January 29, 2013

Syarah Hikam 14


"Sedang amal perbuatan yang anda lakukan berupa sedekah, sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain ibadat adalah hadiah anda kepada-Nya. Dimanakah letak keseimbangan antara hadiah anda kepada-Nya (amal-amal anda yang ma'lul dan ahwal anda yang madkhul) dengan anugerah Allah Taala kepada anda (berupa ilham, taufik dan hidayah kearah jalan makrifat dan kasyaf iaitu dikhususkan kepada orang-orang ahlul I'naayaat dan ahli tahkik)".
Keterangan:
    Oleh sebab itulah bagi orang-orang yang berada pada stesen rohul Qudus memerintah (ahlul maqam) dimudahkan segala amal untuk mereka tanpa berasa berat dan kesukaran (musyaqqah).Tetapi sebaliknya, bagi orang ahlul a'mal diberatkan mereka dengan mujahadah (memerangi nafsu) dalam erti kata diri mereka menghadapi kesukaran dalam berusaha mengekang hawa nafsunya dalam setiap hal. Sementara orang ahli makam (orang arif) ini mempunyai beraneka warna jenis amal perbuatan mereka menurut atas kedudukan hal masing-masing. Justeru itu, pengarang ra menegaskan dengan berkata: bersambung pada kalam hikmah seterusnya.

Sunday, January 27, 2013

Syarah Hikam 13

"Sebab Allah Taala tidak membukakan bagi anda jalan orang-orang muqarabbin yang membawa anda ke arah hakikat tauhid dan yakin,kecuali Dia sendiri ingin menerima anda dan akan memperkenalkan diri-Nya kepada anda dalam segala perbuatan-Nya dan sifat-sifat-Nya yang membuktikan keesaan-Nya. Tidakkah anda ketahui bahawa pemberian makrifat itu merupakan anugerah Allah Taala kepada anda dan apa yang ada pada-Nya itu tidak termasuk dalam segala 'illah dan yang rosak binasa"

Keterangan:

    Apabila Allah Taala membukakan jalan untuk mengenal Hadrat-Nya (Hadhratul Quds) kepada anda, maka tidak usah anda menghiraukan berapa banyak amal perbuatan anda yang hanya sedikit itu, kerana anda adalah orang kesayangan-Nya. Sebab makrifat itu suatu kurniaan pemberian langsung daripada Allah Taala, itulah yang awal dan akhir tuntutan.

    Ketika berlaku keadaan sedemikian anda tidak perlu memandang amal yang sedikit kerana apabila Allah Taala hendak memberikan anugerah kepada anda dengan membuka pintu makrifat-Nya, Dia akan menjadikan anda sebagai orang yang hampir dengan Hadhrat-Nya (Hadhrat Quds).Di sanalah nanti anda akan diperkenalkan dengan segala macam kemuliaan dan ditunjukkan kepada anda apa yang anda tidak ketahui.

Saturday, January 26, 2013

Syarah Hikam 12

"Apabila Allah Taala membukakan mata hati anda jalan mengenal segala asma' dan sifat-sifat-Nya yang menguatkan lagi keinginan anda dan diperkenalkan kepada anda qudrat dan qahhar-Nya, maka janganlah anda hiraukan lagi amal anda yang cuma sedikit itu"

Keterangan:

    Ini kerana adanya amal anda itu bukanlah daripada ikhtiar anda sendiri dan tanpa sebab.Oleh sebab itu, hendaklah anda bersyukur kepada Allah Taala atas kurniaan yang diberikan kepada anda kerana makrifatullah itu adalah ainul maqsud iaitu sehabis-habis tuntutan tuntutan untuk mencapai maksud ada-Nya.

    Apabila Allah Taala menghadapkan seorang hamba-Nya dengan sebab (semua yang terjadi dalam diri seorang hamba daripada Allah Taala dan akan kembali kepada-Nya juga), maka dibukakan dengan jalan mengenal untuknya dalam keadaan tenang menyerah dan tinggal tetap didalamnya (istiqamah). Hal yang demikian itu adalah antara nikmat yang paling besar ke atas seorang hamba itu.

    Jadi, apabila anda melihat dengan mata hati anda (pandangan batin anda yang dalam dan halus itu) ke arah tanda-tanda yang membuktikan bersendirian-Nya (wahdaniah) Tuhanmu, maka anda akan memperoleh petunjuk ke arah hak yang sebenar. Ketika itu menjadi kaya-rayalah anda kerana memperoleh sebab dan amal yang menghasilkan keuntungan makrifat.

Friday, January 25, 2013

Syarah Hikam 11

"Supaya tidak mecacatkan pandangan mata hati anda dan memadamkan nur cahaya batin anda (sirrmu yang paling halus dan dalam)"

Keterangan:

    Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, bahawa mata hati itu adalah nur cahaya yang disimpan oleh Allah Taala di dalam hati dengan perantaraan kekuatan iman (quwah iman). Dengan nur ini, berolehnya petunjuk akal yang membawanya kearah jalan yang benar (hak). Apabila Allah Taala sendiri hendak mengurniakan seseorang hamba itu satu daripada rahsia-rahsia rububiah-Nya, lalu dilimpahkan rahmaniah-Nya ke atas hamba-Nya itu.Maka menjadi suci bersihlah hati hamba-Nya itu daripada syirik khafi dan terbuka kasyaf mata hatinya dengan nur cahaya hidayah.Jadilah hamba-Nya itu orang yang mendapat petunjuk ke arah jalan mahabbah ( jalan yang lebih cepat sampai kepada makrifatullah itu ialah cinta yang hakiki kepada Allah Taala), bukan jalan amal. Ini kerana sesungguhnya: …bersambung dengan syarah seterusnya…..

Thursday, January 24, 2013

Syarah Hikam 10

"Maka janganlah sampai meragukan anda, terhadap janji Allah Taala kerana belum tertunai apa yang dijanjikan itu, meskipun waktunya telah ditentukan (sudah tiba masanya)".

Keterangan:


 

    Sesiapa yang dijanjikan sesuatu oleh Tuhan kepadanya, meskipun waktunya sudah ditentukan, tetapi janji Allah Taala itu masih belum juga terjadi, janganlah hal ini menimbulkan keraguannya terhadap kebenaran janji Tuhannya itu. Oleh sebab itu, adalah wajar ke atas seorang hamba itu:

    Pertama:    Mengenali qadarnya (kedudukannya)

    Kedua:        Beradab ketika bersama Tuhannya.

    Ketiga:        Tenang menyerah kepada-Nya terhadap apa yang telah dijanjikan padanya.

    Keempat:    Tetap bersama-Nya tanpa timbul sebarang keraguan terhadap janji-Nya itu.

    Kelima:        Iktikadnya tetap teguh tidak akan berubah

(Sesiapa yang ada sifat sedemikian, maka dia menjadi arif disisi Allah Taala).

    

    Oleh itu, jadikanlah penyerahan kepada Tuhanmu itu dalam keadaan bersyukur kepada-NYa sama ada kurniaan-Nya itu diberi atau dilarang untukmu. Ini kerana keraguan terhadap janji Allah Taala itu tidak akan berlaku kecuali kepada orang yang mati hati dan buta mata hati yang boleh memadamkan cahaya hati dan mencacatkan penglihatan mata batinnya. Justeru itu kata pengarang: …bersambung pada syarah seterusnya…..

Wednesday, January 23, 2013

Syarah Hikam 9


"Dan pada waktu yang Dia kehendaki (yang ditentukan oleh-Nya sendiri), bukan pada waktu yang anda inginkan"

Keterangan:
    Ini kerana pilihan Allah Taala untuk hamba-Nya itu adalah lebih baik daripada pilihan hamba itu sendiri. Hasilnya, setiap doanya itu akan termakbul, tidak tertolak atau diperlambatkan kurniaan itu, bahkan tidak ada satu tanda pun yang menunjukkan doanya itu tertolak kerana sesungguhnya Dia tidak memungkiri janji.
    Antara doa Nabi Musa as. Ialah tenggelamnya Firaun itu selama empat puluh tahun.Diceritakan oleh Yahya bin Said ra dengan berkata: "Sewaktu saya tidur,saya telah melihat Tuhan, lalu saya berkata: Hai Tuhanku, sudah berapa kali aku berdoa kepada Mu, masih juga permohonan itu belum termakbul.Maka firman-Nya: Aku gemar mendengar suaramu, cuma kadangkala ada pertentangan kerana tidak menurut syarat, rukun dan juga tidak menurut jalan yang sebenarnya."
    Ada juga syarat doa yang tidak dapat disegerakan iaitu apabila dia berkata" Aku telah berdoa tetapi doaku masih belum termakbul".
    Abu Muhammad Abdul Aziz Al-Mahdi berkata:"Setiap orang yang tiada didalam doanya iaitu meninggalkan ikhtiarnya dan keredhaan hak Taala adalah orang yang terpedaya (istidraj) iaitu orang yang apabila dikatakan kepadanya: Sampaikanlah kamu hajatnya, maka sesungguhnya aku berasa benci mendengar suaranya.Tetapi apabila ada di dalam doanya itu disertai ikhtiar (pilihan) Haq Taala, bukan ikhtiarnya sendiri,bererti doanya dimakbulkan."
    Ada orang arif berkata: "Apabila Allah Taala hendak memakbulkan doa hamba-Nya itu, nescaya dikurniakan keadaan keterpaksaan (idhthirar) dalam doanya, sedangkan keterpaksaan doa itu tidak layak bagi diri seorang hamba dalam setiap halnya".
    Ada pula yang berkata:"Orang yang terpaksa itu adalah orang yang apabila mengangkat tangannya berdoa kepada Allah Taala, dia mendapati bukan dirinya yang beramal".
    Jadi apabila anda sudah mengetahui bahawa janji Taala itu tidak dusta,…..bersambung dgn syarah berikutnya….
    

Tuesday, January 22, 2013

Syarah hikam 8


"Sebab Subhanahu Taala telah menjamin terkabulnya permintaanmu menurut pilihan-Nya buat anda, bukan menurut apa yang anda pilih untuk diri anda"
Keterangan:
    Ada kalanya kebencianmu terhadap sesuatu itu ada kebaikan bagimu dan kadangkala sukanya anda terhadap sesuatu itu ada kejahatan bagimu dan Allah Taala saja yang mengetahuinya, sedang anda sendiri tidak tahu.Oleh itu, jangan anda pilih.Sebagaimana firman Allah Taala dalam surahh Al-Baqarah ayat :216
    "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu dan Allah Taala mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

    Sabagaimana kata syeikh Syazali ra: "Janganlah anda memilih sesuatupun daripada pekerjaan anda, tetapi pilihlah sesuatu yang bukan anda pilih dan anda larilah daripada pilihan sedemikian dan daripada setiap sesuatu menuju kepada Allah Taala, Tuahn anda yang menjadikan apa saja yang dikehendaki dan yang dipilih-Nya."
    Terkabulnya doa itu, kadangkala diberi dengan ain (sesuatu) yang diminta dan kadangkala diberi gantinya yang lebih baik daripadanya seperti tertolaknya bala dengan memperoleh nikmat.Kadangkala ditunda di akhirat nanti sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, mafhumnya: "Tidak ada seorang hamba pun yang berdoa kepada Allah Taala yang doanya itu tidak ada derhaka di dalamnya kecuali dikurniakan Allah Taala kepadanya dengan salah satu daripada tiga perkara tersebut:
    Pertama:    Ada kalanya doanya itu disegerakan
    Kedua:        Ada kalanya disimpan untuknya di dalam akhirat
    Ketiga:        Ada kalanya balanya tertolak menurut kadarnya.
    Sebab itu, apa yang dijamin untukmu akan terkabul permintaanmu.