Friday, August 24, 2012

Sembah Menyembah

Jika dicermati ungkapan kalimah tauhid dalam bahasa arabnya, maka tidaklah terdapat perkataan yang bermaksud 'sembah'. 'Sembah' adalah kosa kata yang kita warisi sebelum kedatangan Islam di nusantara ini, yakni zaman kepercayaan hindu lalu masih dipakaimasuk setelah Islam. Sembah itu bermaksud menghadirkan sesuatu di hadapan kita untuk disembah sebagai tuhan. Ada yang mengatakan jika hendak melakukan sholat, haruslah menghadirkan Allah di hadapan kita. Seolah-olah dengan kefahaman sedemikian, Allah itu macam benda yang boleh dihadirkan atau sebaliknya mengikut sesuka hati kita. Padahal Dialah yang wujud dan menghadirkan kita yang maujud ini. Dialah yang terdahulu sholat sebelum kita sholat. Di sisinya tidak ada si penyembah yang lain. Dialah yang menyembah dan Dia jugalah yang disembah. Menurut kata seorang teman di dalam blognya, "buat apalah nak pakai sembah-sembah. Kan bagus kalau buat persembahan rock konsert!" Hj.Bung Johar
Makrifatullah: Makrifatuullah itu tercapai bukan kerna belajar ilmu sifat 20, bukan kerna nafi dan istbat, bukan kerna syari'at, tarikat atau hakikat, bukan kerna ilham atau laduni, bukan kerna asyiknya dzauk dan zikir, bukan kerna dalamnya pemikiran filsafat, bukan, bukan! Sesungguhnya makrifatullah itu hanya akan tercapat ketika kau sedang tidur selenyak-lenyaknya....zzzz...zzzzz..... Ramai yang berfikir telah menyembah Allah. Sedikit yang punya kesedaran bahwa Allah yang disembah itu bukanlah Tuhan Sejati, tetapi adalah bayangan Tuhan itu sendiri. Adakah sama antara Raja dengan kerajaan? Haji Bung Johar

Monday, February 13, 2012

Syarah Hikam Tok Pulau Manis: 1

Syarah Hikam 1.

Ertinya: “Antara tanda-tanda bahawa seorang itu bersandar diri dan mengutamakan amal usahanya ialah kurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah Taala ketika terjadinya sesuatu kesalahan”

Keterangan:

Kurangnya harapan ketika terjadinya maksiat dan sempurnanya harapan ketika melakukan ketaatan.Demikianlah keadaan orang-orang yang jahil yang menganggap amal itu datang daripada dirinya sendiri. Sedangkan orang-orang arif tidaklah sebodoh sedemikian.Mereka tidak sekali-kali menganggap bahawa diri mereka mempunyai amal.

Sebab itulah hal diri manusia terbahagi kepada tiga macam.

Pertama: Orang yang bersandar kepada amalnya.Tandanya: kurang harapannya kepada Allah Taala ketika maksudnya tidak tercapai.

Kedua: Orang yang bersandar kepada anugerah dan kurniaan Allah Taala.Tandanya: kembali kepada Allah samaada dalam keadaan suka maupun duka.Jika dia berkeadaan suka dia akan berkata ”Syukur Alhamdulillah” tetapi sebaliknya jika dia berkeadaan sedih dan susah hati, dia akan berkata ”Aku mohon perlindungan dan pertolongan-Nya”

Ketiga: Orang yang menyandarkan dirinya kepada bahagian yang sudah ada sejak azali lagi. Tandanya: Tidak terasa gundah gulana tanpa sebab, samaada bertambah harapannya terhadap sesuatu atau kurang harapannya terhadap sesuatu.Dalam ertikata yang lain, samaada harapannya dikecewakan atau dipertakutkannya, baginya sama saja apa jua keadaaan yang berlaku ke atas dirinya, malahan dia sentiasa berasa gembira.

Ada pula orang yang mengatakan bahawa tanda yang ketiga itulah orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah Taala dan tinggal diam dibawah perintah segala hukum (putusan Allah Taala), iaitu orang yang melihat Tuhannya, sedang dirinya fana” (yakni apabila diri dan kediriannya lenyap, maka dia akan menyedari dan mengalami sendiri perasaan bersatu dengan Allah Taala)

Ada orang muhakkik (orang hakikat) r.a. berkata : ”Sesiapa yang sudah yang sudah sampai ke arah Islam, tentu dia tidak akan berhenti daripada beramal.Sesiapa sudah sampai ke arah hakikat, tentu dia tidak akan berpaling dan mengabaikan amal dan sesiapa yang sudah sampai kepada ihsa, maka dia tidak akan menoleh kepada yang lain selain Allah Taala”.

Adab syariat itu ialah berdiri dengan melihat segala tandanya dan itulah awal permulaan bagi orang-orang yang mula-mula berjalan menuju kearah hak Taala,
Adab khidmat pula ialah ialah fana’ (hilang lenyap) daripada melihat segala tandanya itu kerana pandangannya tidak tertumpu kearah tersebut lagi kecuali ke arah anugerah Allah Taala saja. Ini kerana sudah tentu wajib ke atasnya tidak berhajat kepada setiap amalnya lagi.

Adab hak itu pula umpama anda sudah kenal, apa yang ada pada anda dan yang ada pada hak Taala.

Adab hak ini kepunyaan orang-orang ahi tahkik kerana apabila seseorang hamba itu tahu dan kenal sifat-sifat faqir, dhaif, lemah, hina dan kekurangan, sedang sifat-sifat Tuhannya Yang Kaya (Ghaniyyun), Yang Kuat (qawiyun), Yang Kuasa (Qadiirun), Yang Mulia (’Aziizun) dan Serba Sempurna ((Kamalat), maka fana’lah dia daripada setiap yang lain selain Tuhannya. Tegasnya, dirinya yang batil(palsu) itu akan hancur lebur dan hilang musnah, apabila sifat-sifat Ketuhanan mengambil alih dalam dirinya itu.

Adab hak inilah untuk orang yang dapat melihat segala kesempurnaan kudrat Tuhannya. Sesiapa yang tidak dapat melihat kamalat kudrat Tuhannyadalam makrifatm bererti akan hilang lenyap untuknya mencapai haal yang sempurna. Ini kerana jika anda dapat melihat kesempurnaan kudrat Tuhan anda, tentu anda akan fana’ (hilang lenyap) daripada setiap yang lain selain Tuhan anda. Oleh sebab itulah, anda perlu mengetahui dan memahami kehendak-Nya pada anda dalam setiap haal, setiap maqal dan maqam.

Inilah penghabisan adab kerana orang yang dikehendaki oleh hak Taala itu adalah Dia ada, sedang anda tiada. Oleh itu gugur dan lenyaplah ikhtiar anda dan terputuslah setiap iradat anda apa yang ada di dalam ikhtiar itu berupa tajried iaitu meninggalkan pekerjaan yang digunakan untuk keperluan duniawi iaitu hanya beribadat semata-mata, sedang segala sebab itu adalah pekerjaan yang menjadi sumber rezeki dalam mencari nafkah dan keperluan sehari-hari.


K

Sunday, February 12, 2012

Syarah Hikam Tok Pulau Manis: 2

Syarah 2
Ertinya: Keinginan anda untuk tajried pada hal Allah Taala menempatkan anda pada segala sebab, maka keinginan anda itu termasuk syahwat yang tersembunyi (samar)

Huraian:

Sesiapa yang ditempatkan Allah Taala pada segala sebab tetapi dia ingin keluar daripadanya untuk menuju kepada tajried, maka keinginan sewdemikian adalah termasuk keinginan syahwat yang samar (tersembunyi)

Sebab keinginan itu termasuk dalam syahwat kerana ia tidak menurut apa yang dikehendaki oleh Allah Taala, bahkan keinginannya itu bertentangan dengan kehendak-Nya.

Sebab keinginan tersebut menjadi tersembunyi kerana pada zahirnya keluar keinginan itu daripada nafsu, pada hal hak Taala sendiri yang mengkehendakinya dalam erti kata daripada keredhaan Allah Taala sendiri bukan keredhaan nafsu dan Allah Taala sendiri yg meredhakannya untuk anda dengan menempatkan diri anda sebagaimana yang telah ditentukanNya ke atas anda.

Menurut kata pengarang kitab "Tanwir" ini lagi."Apa yang dikehendaki oleh Haq Taala pada anda ialah dia ingin anda tinggal diam apa yang telah ditempatkan olehNya kepada Anda sehingga hak Taala sendiri mengarahkan anda keluar daripadanya sebagaimana Dia mengarahkan anda masuk kepada Nya.

Sheikh Hijazi berkata "Iradat itu ada tiga macam"

Monday, January 16, 2012

Di Manakah Singgahsana Tuhan?

oleh H.B. Johar

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas ‘Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. – QS Al-Araf: 54

Dalil tersebut cukup jelas mengungkap bahawa setelah Tuhan menciptakan alam semesta ini dalam enam fasa, maka Dia pun bersemayam di atas ‘Arasy. Perkataan ‘Arasy disebut di dalam al Quran sebanyak 33 kali, sebagaimana bilangan zikir tasbih, tahlil dan tahmid. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi ‘Ashim bahawa sesungguhnya Arasy berada di atas air sebelum ditempatkan di Langit ke 7. Kemudian dijadikan lapisan awan sebagai saringan bagi hujan, jika tidak pasti bumi akan ditenggelami air.

‘Arasy dikatakan sebagai Kiblat yang tertinggi bagi penghuni langit yang di bawahnya adalah kiblat-kiblat yang lainnya seperti Kaabah, Baitul Makmur dan Baitul Qudsi. Luasnya ‘Arasy jika dibandingkan dengan Kursi seperti sebentuk cincin yang terletak di atas tanah lapang, lebih luas dari masyriq ke maghrib. ‘Arasy dijunjung oleh delapan malaikat, dan jarak bahu malaikat pemikul ‘Arasy itu antara telinganya sama sejauh penerbangan burung selama 700 tahun sebagaimana keterangan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud. Menurut seorang Waliyullah Syekh Muhammad Nawawi al Bantani, ‘Arasy itu kelihatannya laksana permata hijau Zamrud (atau Zabarjud) dan merupakan makhluk terbesar ciptaan Allah. Tidak ada satu makhluk pun yang sanggup memandangnya kerana ‘Arasy dihiasi dengan 1000 lapisan keagungan Cahaya.

Di dalam pengetahuan maknawi ahli sufi, ‘Arasy adalah Alam Kabir (makro-kosmos) sebagai tempat bersemayamnya Al-Rahman dan di atasnya tidak ada apa-apa lagi. ‘Arasy merupakan lanskap hakikat sejati, lambang Keagungan dan di sinilah khususnya tajalli Zat Mutlak. Dengan ertikata lain, ia adalah wadah termulia yang meliputi segala ragam maujudat atau makhluqat. ‘Arasy adalah bahagian dari Wujud Mutlak, diungkapkan sebagai Falak Terbesar (bintang utama) yang dikelilingi Aflak (rasi-rasi bintang) sama ada dari sudut dimensi maknawiyah atau pun shuwariyah (citra) dan puncaknya adalah martabat Nafs al-Rahman iaitu Huwa (Dia) sebagai pemberi citra kepada bentuk dan jisim yang menjadi metaforanya melahirkan Alam Al-Insan. Manusia atau disebut juga sebagai Alam Al Insan ini adalah Alam Saghir (mikro-kosmos) sebagaimana Allah telah menciptakan Adam as menurut citraNya, maka terjadilah Alam Saghir itu kelembutan seni mewujud di dalam intipati manusia. Manusia walau pada zahirnya tampak kecil, tetapi hakikat atau batinnya merupakan ‘Arasy atau Falak Terbesar. Kata Syekh Abdul Karim Al Jili di dalam kitabnya berjudul ‘Al Kahfu Wa Ar Raqiim’ bahawa sesungguhnya betapa bijaksananya Allah Azzawajalla mengecilkan yang besar dan membesarkan yang kecil? Masing-masing ditempatkan olehNya sesuai kepada ketertiban atas perintahNya. Dan seandainya sesiapa yang mampu memahami rahsia di sebalik ketertiban itu pasti lah akan memahami firmanNya yang terungkap di dalam hadis qudsi, “Seluruh langit dan bumi tidak mampu menampung ZatKu, tetapi hati hambaKu yang beriman (orang muqmin) mampu menampung ZatKu.”

Bukan mudah untuk memperjelaskan bagaimana hati manusia merupakan ‘Arasy tempat Allah bersemayam. Namun yang pastinya, itulah pilihan dan ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan belas rahmat serta kasih-sayangNya yang tak dapat dinafikan dengan sebarang bukti-bukti lain bahwa amat benar hati manusia itulah merupakan wilayah hakikat dan mampu mewadahi keberadaan ZatNya. Dalam konteks maknawiyah ahli sufi, ‘hati’ manusia yang dikatakan sebagai perbendaharaan Tuhan, tidak berjumlah dan bersifat satu sahaja. Contohnya seperti kita berdiri di atas dataran salji yang berbukit-bukit atau di lembah-lembah. Di mana pun kita berdiri di atas dataran salji itu, apabila kita menyelam ke dalam salji itu kita hanya akan menemui lautan luas yang hakikatnya satu jua. Yang banyak adalah ‘jiwa perasaan’ manusia yang terbendung di balik dada yang gelap. ‘Jiwa perasaan’ atau dikatakan juga sebagai jiwa sanubari sama terdapat pada makhluk-makhluk haiwan yang menonjolkan sebagai sifat tabi’i semulajadi.

Apakah sifat hati (Falak Terbesar) itu dan di manakah hati itu berada di dalam tubuh manusia?

Ada pendapat mengatakan di dalam jantung. Penemuan sains menemukan di dalam otak manusia bahagian kanan terdapat pertanda satu titik yang disebut The God Spot (Titik Tuhan), justeru itu otak dipercayai sebagai hati. Maka apakah otak dapat dianggap sebagai tempat beradanya Singgahsana Tuhan?

Di dalam kitab klasik ‘Serat Wirid Hidayat Jati’ yang ditulis oleh Raden Ngabehi Ranggawarsita atau namanya Kiyai Ageng Muhammad Sirullah, pada 1779 tahun Jawa atau 1850 Masehi, menjabarkan bahawa di dalam organ otak manusia adalah tempat dimana beradanya Singgahsana Tuhan, tetapi tidak pula tempat itu dikatakan Singgahsana yang dimaksudkan ‘Arasy sebagaimana diungkapkan; “Sesungguhnya Aku (Zat) mengatur singgahsana dalam Baitul Makmur, iaitu rumah tempat kesukaanKu. Tempat itu berada di dalam kepada Adam. Dalam kepala itu ada otak, dalam otak itu ada manik, dalam manik ada budi, dalam budi ada nafsu, dalam nafsu ada suksma, dalam suksma ada rahsa (rahsia), dalam rasa ada Aku. Tidak ada Tuhan selain Aku, Zat yang meliputi semua keadaan.”

Sarana di dalam otak manusia boleh diumpamakan seperti besarnya tingkatan laci atau server yang mampu mengumpulkan seberapa banyak tampungan data sebagai penyimpanan ilmu dan penyebaran maklumat yang bersifat daya kreatif serta imajinatif. Tetapi, benarkah pada otak manusia memang mampu menyingkap tabir rahsia-rahsia Ketuhanan? Jika benar, mengapakah otak manusia tidak dapat berfungsi ketika manusia sedang tidur? Dengan demikian, terbuktilah bahawa otak atau sifatnya akal merupakan juga tempat yang ada batasannya dan terhad pula kepada kemampuan fungsinya. Al Ghazali telah membuktikan bagaimana kaum filsafat akhirnya tertipu oleh akalnya sendiri dalam mencari di manakah Tuhan, lantas jalannya filsafat itu gagal memenuhi kebahagiaan jiwa.

Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad, bila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, segumpal daging itu adalah ‘hati’ ” – HR Bukhari.

Apa yang disebutkan Nabi s.a.w. tentang adanya segumpal daging yang dikatakan hati dalam tubuh manusia itu adalah ucapan Haq. Dengan erti lain segumpal daging itu adalah benar-benar wujud dan bukanlah suatu kiasan, ibarat atau perlambangan prasastera. Berkemungkinan pada segumpal daging inilah tempatnya yang dikatakan adanya Rahsia Titik atau Noktah (The God Spot) yang pada hakikatnya merupakan ‘Arasy Ilahi. Atau berkemungkinan juga sifat segumpal daging itu seumpama relung atau Misykat (lubang yang tak tembus) yang di dalamnya ada pelita bercahaya.

Bersabda Nabi s.a.w., “Apa sahaja yang terkandung dalam kitab-kitab Allah yang diperturunkan kepada para Nabi dan RasulNya, ada di dalam kitab suci al Qur’an, dan semua yang terkandung di dalam al Quran terkandung pula di dalam Surah Al Fateha, dan Surah al Fateha terkandung dalam Basmallah, dan Basmallah terkandung di dalam huruf Ba, dan rahsia huruf Ba terkandung di dalam titik di bawahnya.”
Berkata Saiyidina Ali kwjh, “Akulah titik di bawah Ba itu.”

Kesimpulannya Ba adalah citranya ‘Segumpal Daging’ atau ‘Misykat’. Bersabda Nabi s.a.w. “Hati orang muqmin itu ada di dalamnya lampu yang sangat terang-benderang.”

Maka di manakah ‘segumpal daging’ di dalam tubuh manusia itu? Apakah maksudnya jantung atau otak? Atau ada di bahagian lain yang lebih tepat dalam jasad manusia yang tidak kita sedari...?
LikeUnlike · ·Follow postUnfollow post · 20 minutes ago

Stroom

Dari Kalam Tok Ayah...Apakah dia yang dikatakan STROOM itu ?

merupakan kenyataan nya dan padanyalah tenaga-tenaga itu ujud....
STROOM atau tenaga yang mengaliri setiap organ-organ badan diri ini ..dialah menjadi pengeraknya. Akan tetapi apakah yang ada pada Nur Muhammad itu tidak lain dan tidak bukan iaitu Rahasia Tuhan dan ia dinamakan SIRULLAH.

... Tenaga merupakan PANCARAN NUR yang MENJADI DIRI PADA BADAN sehingga meliputi sekaliannya. Maka itulah yang kita perlu tahu dan ambil tahu akan pecahan-pecahan nya..

- ZAT adalah hakikat segala kejadian dan kehidupan
- NUR MUHAMMAD adalah pemegang amanah bagi Rahasia Tuhan iaitu Tenaga@Kuasa
- ORGAN -ORGAN adalah bekas untuk menyimpan atau menyatakan akan fungsi2 nya.
- ASMA’ ALLAH yang bernama AZ-ZHOHIRU=yang zahir
- ASMA’ ALLAH yang bernama AL MUZHOOHIRU=yang mengzahirkan.

Gerak yang berlaku didalam adalah gerak nafas dan nadi serta lain nya adalah gerak Pembawakan Tuhan jua akan tetapi ianya bertitik tolak dari Nur Muhammad.
Ianya Asma’ Allah jua iaitu Az-Zhoohiru. Ianya bersifat baru kerana apabila Nur Muhammad menerima badan baharulah tenaga itu ujud .

Itupun kerana berbadan dan tenaga-tenaga inilah yang digunakan oleh ahli-ahli kebatinan dan ahli ilmu tenaga dalam biasa. Mereka hanya mengambil manfaat dari tenaga itu sahaja yang bertitik tolak dalam jantung dan nafas nya.

Akan tetapi ilmu pengetahuan kami adalah mendudukki pada yang mendalam lagi iaitu tenaga yang asal iaitu tenaga yang mengerakkan nafas dan nadi serta lainnya atau tenaga yang mencipta tenaga itu dan ia adalah QUDRATULLAH iaitu RAHSIA Nur Muhammad.

Kedudukan

MENDUDUKKI PADA TEMPATNYA.
AyahdiPakNgah

Ketahuilah olehmu akan kefahaman menduduki akan AKU pada tempatnya.
Jika kau tahu akan konteks kefahaman mendudukkan AKU pada tempatnya pasti kau akan merasa bahagia dan senang segala urusanmu.
...
Mendudukkan AKU pada tempatnya adalah ia terbahagi kepada beberapa martabat yang mulia dan ianya perlu kau fahami secara khusus dan mendalam…Kedudukan itu adalah…

1- Tuhan - hilang segala yg ada padamu nyatalah ia.
2- Ketuhanan - nyatalah aku muhammad
3- Kehambaan - nyatalah segala padamu af’al
4- Hamba - menanti dan mengikut segala titah perintah

Oleh itu jika kau tahu meletakkan serta mendudukkan aku pada tempatnya pasti kau akan sampai dan dapat menemuiNya serta kau akan senang dan menyenangkan hidupmu.

AKU yang perlu duduk pada tempatnya secara sempurna demi menyempurnakan akan segala kehidupan ini samada didunia mahupun diakhirat.