Tuesday, January 22, 2013

Syarah Hikam 7


"Kesungguhan anda untuk mencapai apa-apa yang sudah dijamin oleh Allah Taala berupa rezeki, pasti akan sampai kepada anda dan kelengahan anda terhadap tuntutan Allah Taala dan kewajiban yang diamanahkan kepada anda (ibadat), membuktikan tidak ada keyakinan anda dan butanya mata hati anda"
Keterangan:
    Ini kerana mata hati (pandangan mata batin yang halus dan dalam itu) adalah nur cahaya yang disimpan dan disembunyikan oleh Allah Taala di dalam hati hamba pilihanNya yang hanya dapat diketahuinya dengan kehendak Allah Taala sendiri iaitu setelah permukaan hati itu basah dengan air muraqabah dan suci bersih daripada daki aghyar (cengkaman pengaruh alam benda yang palsu ini)

 

    Oleh sebab itulah, kesibukan pada yang lain selain Allah Taala dan mengabaikan apa yang diingini-Nya itu memadamkan cahaya hati dan membutakan mata hati.Alangkah baiknya jika anda tidak mengabaikan muraqabah dan mintalah anugerah kepada Allah Taala (limpah kurnia-Nya)

 

    Syeikh Jamaluddin ra berkata: "Sesuatu yang sudah dijamin untuk seorang hamba itu ialah rezekinya yang diperoleh yang dapat menempatkan wujudnya di dalam dunia ini. Dalam erti kata, keadaannya sudahpun dijamin oleh Allah SWT dan kosonglah segala hamba itu daripadanya dan mereka tidak diminta bersungguh-sungguh di dalamnya"

 

    Sesuatu yang diminta kepada seseorang hamba itu ialah amalnya yang akan membawanya sampai kepada kebahagiaan akhirat.Ertinya,keadaan si hamba dan sesuatu yang diminta itu mewakili keuntungan hamba itu sendiri melalui amal yang dilakukannya dengan bersungguh-sungguh di samping menjaga syarat-syaratnya, sebab-sebab dan segala waktunya.

 

    Syeikh Sahl bin Abdullah At-Tustari ra berkata: "Bagi segala hamba ke atas Allah Taala itu ada tiga perkara:
        Pertama :    Taklif mereka
        Kedua:        Hal mereka
        Ketiga:        Menempatkan pekerjaan mereka
    Manakala bagi Allah Taala ke atas hamba-hamba itu juga ada tiga perkara:
        Pertama:    Tawakal kepada-Nya
        Kedua:        Mengikut Nabi-Nya
        Ketiga:        Sabar dengan keadaan sedemikian sehingga mati

 

    Ketiga-tiga yang terdahulu itu ialah masuknya si hamba pada setiap pekerjaan itu dalam keadaan berat kerana kedatangannya itu tidak dapat dibayangkan(tasauwur) adanya kesemua itu dengan sebab boleh diumpamakannya, sedang tiada wajib ke atas Allah Taala sesuatu pun.Manakala ketiga-tiga selepasnya itu ialah tak dapat tidak seorang hamba itu mesti menempatkan dirinya kepada-Nya kerana adanya sebab di dalamnya.

 

    Begitulah keadaannya jika yang sudah dijamin itu bukan berada dalam keadaan yang diminta. Tetapi sebaliknya jika yang sudah dijamin itu berada dalam keadaan yang diminta, maka pengarang menegaskannya dengan berkata:
        "Janganlah menyebabkan terlambatnya masa pemberian kurnia oleh Allah Taala kepadamu, padahal anda bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan anda berputus asa".
Keterangan:
    Janganlah anda mudah berputus asa ketika memohon kepada Allah Taala dan bersungguh-sungguhlah berdoa dan meminta kepada-Nya kerana terlambatnya masa pemberian kurniaan-Nya yang sudahpun dijamin ke atasmu, sebagaimana firman Taala dalam surah Ghafir ayat 60.
    "Pintalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan permohonan kamu itu"
    Ada kalanya permohonan itu diterima di dalam dunia ini dan ada kalanya pula diterima di akhirat menurut keadaan yang diminta atau akan digantinya. Apa yang penting, berbaik sangkalah kepada Tuhanmu yang sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya.

No comments:

Post a Comment