Monday, January 21, 2013

Syarah Hikam 6

"Sebab apa yang sudah dijamin/diatur oleh selain anda (yakni Allah Taala) untuk diri anda dalam urusan perkara dunia dan akhirat , tidak usah anda memikirkannya(janganlah anda ikut mengaturnya)"

    Kekangkanlah diri anda daripada tadbir (mengatur diri anda sendiri) walau sezarah sekalipun. Ini kerana jika anda melepaskan tadbir anda itu, bererti anda menghinakan diri anda di sisi Allah Taala (ubudiah).

    Sahl bin Abdullah Al-Tustari ra berkata: "Tinggalkanlah tadbir dan ikhtiar anda (pilihan anda sendiri) kerana sesungguhnya kedua-duanya itu mengeruhkan lagi kehidupan manusia."

    Syeikh Abu Hasan Al-Syazali ra berkata: "Jika ada tadbir mu, tadbirkanlah tetapi bukan kamu yang tadbir" Kata beliau lagi: Janganlah anda membuat pilihan sendiri terhadap sesuatu daripada pekerjaan anda, sebaliknya ikhtiarkanlah sesuatu yang bukan ikhtiar (pilihan) anda.

    Imam Al-Raazi ra berkata: "Selagi hamba itu ada tasarruf, lalu diberitahu kepadanya: Janganlah anda buat pilihan sendiri, dan kekanglah diri anda daripada ikhtiar anda sendiri; sehinggalah si hamba ini menjadi orang arif. Apabila Allah Taala sendiri menjadikan dia orang arif, lalu dikatakan kepadanya: Jika anda ada keinginan, anda ikhtiarkanlah. Jika anda ada kemahuan sendiri, maka itu bukan ikhtiar anda. Ini kerana jika anda ada ikhtiar, maka ikhtiar anda itu adalah dengan ikhtiar Kami.Sebaliknya, jika anda tinggalkan ikhtiar anda itu, bererti anda tinggalkannya dengan ikhtiar Kami juga. Sesungguhnya anda bersama dengan Kami samaada dalam ikhtiar maupun dalam meninggalkannya". Inilah makam yang paling mulia.

    Ibrahim al Khawas ra berkata: "Kesemua amal anda itu ada dalam kedua-dua kalimah berikut:

    Pertama: Janganlah anda berasa keberatan terhadap apa yang telah dicukupkan untuk anda iaitu rezeki anda sama ada di dunia atau pun di akhirat.

    Kedua: Janganlah anda mensia-siakan amal anda kerana Allah Taala sebagaimana yang telah diarahkan kepada anda sedang anda bersandar diri kepadaNya yang sudahpun dijamin untuk anda.

    Jika anda menempatkan diri anda pada setiap kedua-duanya itu; pasti pandangan batin anda (basirah) berasa aman sejahtera dan rahsia sirr batin anda yang halus dan dalam itu bercahaya terang benderang".

No comments:

Post a Comment