Sunday, January 20, 2013

Syarah Hikam 3


"Sebaliknya keinginanmu terhadap sebab (berusaha), padahal Allah Taala telah menempatkan anda pada tajried (golongan yang melulu beribadat tanpa kasab), maka keinginan sedemikian bererti menurun (merosot) dari semangat dan cita-cita yang tinggi"

 

Keterangan:
Sesiapa yang ditentukan Allah Taala dalam tajried, sedang dia ingin keluar daripadanya berpindah kepada asbab, maka perlakuannya yang sedemikian itu menunjukkan dia kurang semangat himmahnya dan buruknya adab akibat menurut keinginan syahwatnya. Ini kerana iradat sedemikian adalah termasuk iradat thabie (membiarkan tabiat kebiasaan menguasai diri) dan zulmatun nafsi (kegelapan angkara hawa nafsu).
    Tajried bagi orang ahli tarekat ialah melenyapkan alam benda ini daripada hati dan sirr (batinnya yang halus dan dalam) iaitulah makam yang tinggi.Di sinilah hak Taala telah menempatkan hamba-hamba Nya yang khawas (istimewa dan terpilih) dan orang-orang arif di dalamnya. Apabila hak Taala menempatkannya pada mertabat khawas, maka janganlah turun daripada mertabat tersebut kepada mertabat yang kurang.
    Jadi, asbab (sebab-sebab) itu adalah untuk orang-orang yang baru meniti jalan suluk menuju kepada Allah Taala (ahlul bidayah yang salik), iaitu orang ahlul tawajjuh (orang yang memusatkan sepenuh kepada Allah Taala). Sedang tajried itu pula untuk ahlul-muwajahah yang telah sampai (wasil) kepada Allah Taala iaitu orang ahlul-jazab(orang –orang madjzub) yang sudah ada jazbah atau daya tarikan magnet nur macam besi berani atau menpunyai karan atau orang-orang yang ditarik oleh Allah Taala tanpa kaedah suluk.
    Oleh sebab itulah orang yang mempunyai makam ini inginkan sebab-sebab itu turun daripada semangat himmah yang tinggi adalah kerana tajried itu adalah hal yang ambil daripada Allah Taala tanpa washitah(perantaraan), sedangkan ia jamak (terhimpun/berpadu) tanpa maani' (larangan) dan illah (sebab musabab). Jadi,keadaan orang yang tajried itu dalam haal ini, yakni dalam haal yang berhajat kepada sebab itu adalah umpama orang yang dikurniakan oleh raja pakaian yang mengembirakan tetapi digunakan untuk melihat-lihat binatang peliharaan dengan memakai pakaian tersebut.
    Ada seorang Syeikh ra berkata:"Orang yang tajried yang berkehendak kepada sebab itu adalah umpama dua orang hamba raja. Maka raja itu berkata kepada salah seorang daripada mereka "Bekerjalah dan makanlah hasil dari kerja tangan mu". Kemudian raja itu berkata kepada seorang lagi "Engkau tinggallah diam bersamaku dan akulah yang akan mencukupkan mu". Jika salah seorang mereka keluar (melarikan diri) daripada kehendak tuannya, bererti dia adalah orang yang paling buruk adabnya dan akan ditimpa kebinasaan. Sedang kedua-dua orang hamba raja itu inginkan satu saja terjadi ke atasnya untuk menghasilkan qasadnya (niat yang kuat), demikian pula tadbir yang disertai Allah Taala yang terjadi daripada ketika tahkik dalam takdir sebagaimana kata pengarang.
    

No comments:

Post a Comment