Tuesday, December 20, 2011

Post Nizam Shahibul Karibb

Zikrullah adalah mengingati Zat Allah dan ia adalah suatu amalan ibadah yang sangat besar darjatnya dan amat tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Zikrullah merupakan intipati bagi segala amalan ibadah. Ia adalah suatu bentuk amalan ibadah yang boleh dikerjakan tanpa batas dan had. Solah yang tidak disertai dengan Zikrullah adalah Solah yang lalai. Begitulah juga dalam setiap amalan ibadah fardhu yang lain seperti Puasa, Zakat dan Haji, sekiranya tidak disertai Zikrullah ianya akan menjadi amalan ibadah yang lalai dan kurang nilai pahalanya.

--------------------------

SYARAT-SYARAT ZIKIR

--------------------------

SEBAHAGIAN Para Masyaikh menganggap

syarat utama untuk melakukan zikir adalah mengambil

wudhu dengan sempurna lalu memulakan zikir sambil

menghadap Kiblat. Ada yang menetapkan adab-adab tertentu

ketika berzikir seperti menghadapkan diri ke arah Qiblat dan

duduk dalam keadaan antara dua sujud, duduk tasyahud atau

kebalikan tasyahud. Tempat yang bersih juga perlu diberikan

perhatian namun amalan Zikir mengingati Allah adalah suatu

amalan yang tidak ditetapkan had masa, bilangan mahupun

keadaan. Mengingati Zat Allah dengan hati yang ikhlas serta

mengerti dengan sebenar-benarnya akan maksud kalimah

zikir itu merupakan syarat yang paling utama.

Walaubagaimanapun Para Masyaikh Naqshbandiyah tidak

menjadikan berwudhu sebagai syarat yang utama bahkan

syarat yang paling utama adalah menghayati makna lafaz

zikir yang disebut.

Hadhrat Maulana Shah ‘Abdullah Ghulam ‘Ali

Rahmatullah ‘Alaih telah menyatakan syarat-syarat zikir di

dalam kitabnya Idhahut Tariqah bahawa menghayati makna

lafaz zikir bermakna bahawa selain dari Zat Allah Subhanahu

Wa Ta’ala tiada sesuatu pun yang menjadi maksud. Bagi

setiap lafaz, makna adalah lazim baginya kerana tanpa makna,

lafaz tidak bererti apa-apa.

Syarat yang seterusnya ialah ketika melakukan Zikir

Nafi Itsbat iaitu ketika mengucapkan kalimah Nafi, hendaklah

menafikan kewujudan segala sesuatu dan ketika

mengucapkan kalimah Itsbat hendaklah menetapkan di dalam

hati hanyalah Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala Yang

Maha Suci. Meskipun seseorang itu telah menafikan segala

maksudnya selain Allah Subhanau wa Ta’ala namun dia akan

beroleh hasil dan manafaat yang besar dari Allah Subhanahu

Wa Ta’ala.

Syarat yang selanjutnya ialah ketika seseorang itu

berzikir sama ada Ismu Zat ataupun Nafi Itsbat, setelah

beberapa lama melakukan zikir, hendaklah mengucapkan di

dalam hati dengan merasa penuh kerendahan diri dan penuh

pengharapan akan kalimah Baz Gasht iaitu,



Ilahi Anta Maqsudi Wa Ridhaka Matlubi.

Yang bererti, “Oh Tuhanku, Engkaulah maksudku dan

keredhaanMulah tuntutanku.”



Bagi Salik peringkat pertengahan hendaklah

menambah ucapan:

A’tini Mahabbataka Wa Ma’rifataka.

Yang bererti, “Kurniakanlah Cinta Mahabbah dan

Ma’rifatMu.”



Bagi peringkat tinggi, sebelum itu harus diucapkan,

Taraktu Dunya Wal Akhirah Laka

A’tini Mahabbataka Wa Ma’rifataka

Yang bererti, “Telah ku lepaskan Dunia dan Akhirat kerana

Engkau”



Adapun lafaz Baz Gasht bagi peringkat tinggi dalam

Bahasa Parsi seperti mana yang di ucapkan oleh Para

Khwajahgan adalah seperti berikut,



Khudawandah Maqsudi Man Tui Wa Ridhai Tu,

Tarak Kardam Dunia Wa Akhirat Ra Baraey Tu,

Mahabbati Khud Wa Ma’rifati Khud Badih.

Yang bererti, “Wahai Tuhan, maksudku adalah Engkau dan

Keredhaan Engkau, telah ku lepaskan Dunia dan Akhirat

kerana Engkau, kurniakanlah CintaMu dan Ma’rifatMu.”

Jikalau Murid Salik belum benar-benar bersedia, lafaz

“Telah ku lepaskan Dunia dan Akhirat kerana Engkau”

janganlah disebut melainkan telah benar-benar bersedia, maka

perlu mengucapkannya dengan lidah hati dengan ucapan:

Ilahi Anta Maqsudi Wa Ridhaka Matlubi,

A’tini Mahabbataka Wa Ma’rifataka.

Atau dalam bahasa Farsi:

Khudawandah Maqsudi Man Tui Wa Ridhai Tu,

Mahabbat Wa Ma’rifati Khud Badih.

Yang bererti, “Wahai Tuhan, maksudku adalah Engkau dan

Keredhaan Engkau, kurniakanlah Cinta dan Ma’rifatMu.”

Syarat yang seterusnya hendaklah bertawajjuh

terhadap Qalb tetapi tidak perlu membayangkan rupabentuk

hati sanubari ataupun membayangkan kalimah Ismu Zat,

hanya menghadapkan perhatian dan menumpukan

pandangan batin ke arah kedudukan Qalb. Tawajjuh yang

sedemikian ini dinamakan Wuquf Qalbi dan Tawajjuh yang

seperti ini menduduki Maqam Dharab dalam Tariqat yang

lain.

Syarat seterusnya hendaklah bertawajjuh kepada Zat

Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Pandangan batinnya

hendaklah sentiasa terarah ke atas dan menyedari bahawa

Allah Subhanahu Wa Ta’ala sedang melihat, di samping itu

menantikan limpahan Faidhz dari sisiNya. Bertawajjuh

pandangan batin ke arah atas adalah kerana memelihara

Adab, bahawa kedudukan Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu

adalah atas daripada sekelian makhluk dan dariNyalah

sumber limpahan Faidhz itu terlimpah. Wuquf Qalbi dan

bertawajjuh dengan sumber Faidhz adalah merupakan rukun

bagi zikir yang akan menghasilkan Nisbat Kehadiran Bersama

Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tanpa kedua-dua rukun

tersebut, mencapai Nisbat Kehadiran Bersama Allah

Subhanahu Wa Ta’ala adalah mustahil.

Syarat yang terakhir ialah ketika melakukan zikir

hendaklah menghentikan segala khayalan hati dan was-was.

Setiap kali hati mengkhayalkan sesuatu selain Allah

Subhanahu Wa Ta’ala, maka pada waktu itu juga hendaklah

dijauhkan segala khayalan tersebut supaya ingtan terhadap

sesuatu selain Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak dapat

menakluki hati dan di dalam Tariqat Naqshbandiyah

Mujaddidiyah ianya dinamakan sebagai Nigah Dasyat.

Menahan nafas ketika berzikir amat memberi faedah namun

ianya bukanlah menjadi suatu syarat. Dengan menahan nafas,

kehangatan di dalam Qalb akan terasa kemudian akan terbit

Syauq iaitu rasa rindu terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Hatinya akan menjadi lembut dan menafikan sebarang

khayalan hingga mencapai Zauq yakni rasa kenikmatan dalam

berzikir dan seterusnya akan menerbitkan rasa Cinta. Dengan

menahan nafas juga akan memungkinkan seseorang Salik itu

menjadi seorang Ahli Kasyaf.



Adapun syarat ketika melakukan Zikir Nafi Itsbat

hendaklah sentiasa ingat akan jumlah bilangan yang ganjil

dan ianya dinamakan sebagai Wuquf ‘Adadi. Para Akabirin

Naqshbandiyah telah berkata bahawa Wuquf ‘Adadi

merupakan pelajaran pertama Ilmu Laduni yang mana

dengan melakukannya akan menghasilkan kaifiat dan ilmu

tersebut. Penyingkapan rahsia-rahsia dan segala persoalan

akan terjawab menerusi zikir ini. Zikir ini adalah bersumber

dari Hadhrat Khidhr ‘Alaihissalam dan diriwayatkan

pengamalannya dengan cara menahan nafas.

Ketika menahan nafas tersebut, hendaklah

mengucapkan kalimah Nafi Itsbat menurut kaifiat dalam

jumlah bilangan yang ganjil. Jika seseorang Murid yang dapat

menyebut kalimah Nafi Itsbat sehingga mencapai jumlah

bilangan 21 kali dalam satu nafas namun masih belum

memberikannya sebarang manafaat, maka terbatallah

amalannya dan sia-sia serta tidak tergolong sebagai Ahli

Tariqat. Dia hendaklah memulakan perjalanannya sekali lagi

dan hendaklah menjaga kesemua syarat-syarat ketika berzikir.

Adapun bagi golongan peringkat tinggi mereka tidak

lagi perlu berzikir sambil menahan nafas ataupun sambil

menutup mata kerana amalan mereka adalah Muraqabah dan

mereka sentiasa berada dalam Musyahadah. Amalan mereka

merupakan Zikir Khafi yang tersembunyi dalam Hakikat diri

mereka dan hanya diketahui oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.



---------------

ZIKIR KHAFI

---------------

MENURUT Para Masyaikh, apabila Allah Subhanahu Wa Ta’ala

mengkehendaki seseorang hamba itu termasuk ke dalam

urusanNya, maka Dia akan menyampaikan hamba itu untuk

berkhidmat kepada salah seorang dari RakanNya, kemudian

RakanNya itu akan menilai hal keadaannya dan memberikan

arahan untuknya melakukan latihan Keruhanian dan

Mujahadah dan menyucikan batinnya dan menerusi

memperbanyakkan Zikir dan Fikir, Latifah-Latifahnya yang

tersembunyi itu akan kembali bertawajjuh kepada asal

usulnya.

Pada zaman ini, disebabkan kebanyakan penuntut

menghadapi lemah semangat dan Himmat, kerana itulah Para

Masyaikh Naqshbandiyah Rahimahumullah semenjak awal

lagi mengarahkan murid mengamalkan jalan zikir dan sebagai

menggantikan amalan dan latihan yang sukar serta

Mujahadah dan ‘Ibadah yang berat, mengarahkan amalan

yang sederhana dan sentiasa memerhatikan waktu untuk

melaksanakan ‘Ibadah dan melakukankan Tawajjuh kepada

murid.

Para Masyaikh Naqshbandiyah telah mengarahkan

sekelian Murid mereka menuruti Sunnah Hadhrat Nabi

Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan

menjauhi segala bentuk Bida’ah serta mengarahkan Para

Murid mereka untuk melakukan Zikir Khafi iaitu zikir yang

tersembunyi. Untuk menghasilkan nikmat zikir yang

berterusan Para Masyaikh Naqshbandiyah telah menetapkan

tiga jalan Zikir Khafi iaitu:



1. Zikir Ismu Zat dan Nafi Itsbat

2. Muraqabah

3. Suhbah dan Rabitah Syeikh.



Zikir Qalbi bererti mengingati Allah di dalam hati dan

Zikir Khafi bererti mengingati Allah secara tersembunyi.

Kaifiyat Zikir Qalbi dan Khafi adalah berbeza dalam Tariqattariqat

yang lain. Ada yang berbeza pada lafaz zikir dan ada

juga yang berbeza dalam kaedah zikir.

Sebagai contoh, ada yang menggunakan lafaz Hu Allah

ketika menarik nafas dan Allah Hu ketika menghembuskan

nafas. Para Masyaikh di India banyak yang mengamalkan

Zikir Qalbi dengan keluar masuk nafas. Kaedah zikir tersebut

dinamakan kaedah zikir Paas Anfas.

Zikir Khafi adalah mengingati Allah dengan cara yang

tersembunyi sama ada secara ucapan di hati mahupun secara

gambaran di hati atau di fikiran. Zikir Khafi adalah suatu

bentuk zikir yang istimewa kerana ia memberikan kesan yang

sangat besar kepada orang yang senantiasa mengamalkannya.



-------------------

ZIKIR ISMU ZAT

-------------------

ISMU Zat adalah Nama Allah. Ianya merupakan nama bagi zat

yang Wajibul Wujud yakni kewujudanNya adalah wajib serta

memiliki segala sifat kesempurnaan dan suci dari segala sifat

kekurangan. Setiap murid atas jalan Naqshbandiyah

hendaklah memperbanyakkan menyebut nama Allah di dalam

hati tanpa menggerakkan lidah pada setiap masa dan

keadaan, baik dalam keadaan berdiri, duduk, berbaring atau

berjalan.

Para Masyaikh Naqshbandiyah beramal dengan

‘Azimah dan meninggalkan Rukhsah. Beramal dengan

‘Azimah bererti beramal dengan amalan yang lebih besar

nilainya iaitu Fardhu, Wajib, Sunat, Nafilah dan Mustahab

manakala meninggalkan Rukhsah bererti meninggalkan

keuzuran beribadat. Kerana itulah Para Masyaikh telah

memilih Zikir Khafi kerana ada dinyatakan dalam Hadis

Nabawiyah bahawa Zikir Khafi (Zikir Tersembunyi) lebih baik

dari Zikir Jihri (Zikir Mengangkat Suara) dengan tujuh puluh

darjah kelebihan. Pada mula-mula menjalani Tariqat

Naqshbandiyah, Para Masyaikh mentalqinkan Zikir Ismu Zat

iaitu nama Allah kepada murid mereka dengan kaifiat yang

tertentu.

Caranya adalah seperti berikut, iaitu murid hendaklah

membersihkan hati dari sebarang Khatrah iaitu kekhuatiran

dalam hati dan sebarang khayalan perkataan hati dengan

melakukan Istighfar dalam bilangan yang ganjil iaitu

sebanyak 25 kali. Lenyapkan segala fikiran tentang perkara

yang telah lepas dan yang akan datang. Mohon perlindungan

Allah dari segala kejahatan dan tipu daya Syaitan yang

direjam dengan membaca Ta’awuz lalu hendaklah membaca

Bismillah dan Surah Al-Fatihah sekali dan Surah Al-Ikhlas

bersama Bismillah sebanyak tiga kali dan hadiahkan seluruh

bacaan tadi kepada sekelian Arwah Muqaddasah (Ruh-Ruh

yang telah disucikan) Para Mashaikh Akabirin Silsilah ‘Aliyah

Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Seterusnya murid hendaklah membayangkan maut

yakni menghadirkan saat kematian diri. Ini merupakan pintu

bagi memasuki Alam Ghaib dan menuju ke Hadhrat Allah

Subhanahu Wa Ta’ala. Ianya juga merupakan pintu bagi

menghubungi Para Arwah Muqaddasah Mashaikh Akabirin

Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Pada waktu berzikir hendaklah melenyapkan segala

perkataan, kekhuatiran dan khayalan di dalam hati dan fikiran

yang selain Allah. Hati hendaklah menyebut Allah Allah

dengan merendahkan diri. Jikalau kekhuatiran dan khayalan

hati itu tidak dapat dilenyapkan, maka hendaklah

membayangkan wajah Syeikh iaitu orang yang mentalqinkan

zikir. Bayangan Syeikh hendaklah digambarkan dalam fikiran

di kedudukan antara dua kening, kemudian berada pada

kedudukan bertentangan dengan hati kita, lalu memelihara

bayangan wajah Syeikh di dalam hati. Membayangkan wajah

Syeikh disebut sebagai Zikir Rabitah atau Rabitah Syeikh.

Rabitah yang sempurna ialah apabila kita dapat

mengambarkan diri kita sebagai Syeikh. Setelah

membersihkan hati dari kekhuatiran dan khayalan hati,

hendaklah sibuk melaksanakan Zikir Khafi. Untuk

menghilangkan kekhuatiran dan khayalan hati, hendaklah

benar-benar merendahkan diri dan hati melakukan Zikir Ismu

Zat dengan sempurna. Dalam melaksanakan zikir,

memelihara Wuquf Qalbi sangatlah penting iaitu diri

bertawajjuh terhadap hati dan hati bertawajjuh kepada Zat

Allah Ta’ala. Wuquf Qalbi amat penting kerana berzikir

tanpanya tidak mendatangkan sebarang faedah. Berzikir tanpa

Wuquf Qalbi akan mendatangkan kehuatiran dan khayalan

hati. Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih amat

mengutamakan Wuquf Qalbi dan menganggapnya sebagai

syarat yang wajib.

Sentiasa berzikir dengan memelihara syarat-syaratnya

iaitu tongkatkan lidah ke langit-langit dan dengan

menggunakan lidah hati hendaklah menyebut Allah Allah di

maqam Latifah Qalb iaitu pada kedudukan dua jari di bawah

tetek kiri cenderung ke arah ketiak sambil memahami

pengertiannya iaitu, Zat Allah adalah bersifat dengan segala

sifat kesempurnaan dan suci dari segala sifat kekurangan.

Letakkan dalam fikiran bahawa diri kita beriman dengan Zat

Allah tersebut yakni mewujudkan Zat Allah dalam fikiran dan

disebutkan sebagai Wujud Zihni. Sewaktu berzikir, badan dan

lidah jangan sengaja digerakkan dan bagi seseorang Salik,

setiap waktunya hendaklah berzikir menggunakan lidah

hatinya sehinggalah hatinya menjadi sentiasa berzikir.

Seterusnya hendaklah berzikir Ismu Zat iaitu Allah

Allah pada maqam Latifah Ruh iaitu pada kedudukan dua jari

di bawah tetek kanan. Seterusnya hendaklah berzikir Allah

Allah pada maqam Latifah Sirr iaitu pada kedudukan dua jari

dari tetek kiri menghadap ke dada. Seterusnya hendaklah

berzikir Allah Allah pada maqam Latifah Khafi iaitu pada

kedudukan dua jari dari tetek kanan menghadap ke dada.

Seterusnya hendaklah berzikir Allah Allah pada maqam

Latifah Akhfa iaitu pada kedudukan di tengah-tengah dada.



Hendaklah memperbanyakkan zikir pada setiap maqam

Latifah sehingga zikir menjadi sifat yang lazim bagi hati.

Setelah berhasil melakukan zikir pada kesemua Latifah

Alam Amar, hendaklah berzikir Allah Allah pada maqam

Latifah Nafs iaitu pada kedudukan di tengah-tengah dahi.

Seterusnya hendaklah berzikir nama Allah pada maqam

Latifah Qalibiyah iaitu pada seluruh jisim.

Hendaklah berzikir dengan merasakan kedengaran

suara dalam diri menyebut Allah Allah pada setiap zarah,

urat dan saraf serta seluruh rambut. Ini merupakan amalan

dalam Tariqat ‘Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah dan

biasa dikenali sebagai Sultanul Azkar ataupun Zikir Kulli

Jasad.



--------------------------

----

KAIFIYAT ZIKIR ISMU ZAT

--------------------------

----

1. Istighfar - 25x [Astaghfirullaha Robbi Min Kulli Zanbin Wa

Atubu Ilaihi]

2. Alhamdu Syarif - 1x [Surah Al-Fatihah dengan A’uzubillah

dan Bismillah]

3. Qul Huwa Allah - 3x [Surah Al-Ikhlas dengan Bismillah]

4. Hadiahkan pahala bacaan tersebut kepada sekelian Arwah

Para Masyaikh: - [Ucapkan, “Ya Allah! Telah ku hadiahkan

seumpama pahala bacaan Fatihah dan Qul Hu Allah

kepada sekelian Arwah Muqaddasah Masyaikh Kibaar

Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah”]

5. Bayangkan hadirnya Maut: - [Ucapkan dalam hati, "Aku

sudah mati, dimandikan orang, dikapankan orang,

disembahyangkan orang, dihantarkan orang jenazah aku ke

dalam liang lahad”]

6. Khayalkan hati sedang mengucapkan Allah Allah… tanpa

menggerakkan lidah.

7. Tawajjuhkan diri terhadap hati dan hati bertawajjuh kepada

Allah Taala. Ini adalah Wuquf Qalbi.

8. Sentiasa Muraqabah dengan mengkhayalkan limpahan

Faidhz dari Allah Ta’ala jatuh ke hati kita.

9. Sesudah beberapa lama kemudian, ucapkan dalam hati

dengan rasa rendah diri dan mengharap dengan ucapan

Baz Gasht : -

• “Ilahi Anta Maqsudi Wa Ridhoka Matlubi, A’tini

Mahabbataka Wa Ma’rifataka” - [Arab] atau,

• “Khudawanda! Maqsudi Man Tui Wa Ridhoi Tu,

Mahabbat Wa Ma'rifati Khud Badih” - [Parsi] yang

bermaksud, “Ya Tuhanku! Maksudku hanyalah Engkau

dan Keredhaan Mu, Kurniakanlah Cinta dan Ma'rifat

Mu”

• Wuquf Qalbi dan Baz Gasht adalah di antara syarat-syarat

Zikir. Jika berwudhuk sangatlah besar faedahnya namun

ia bukanlah syarat.

10. Pada waktu kelapangan samada dalam satu majlis atau

majlis yang berbilang-bilang, hendaklah mengerjakan zikir

ini sebanyak 24 ribu kali sehari semalam, lebih kurang

dalam 2 setengah jam untuk dilakukan.

11. Begitulah ketika berjalan, berbaring, bangun dan

duduk, samada berwudhuk ataupun tidak, setiap waktu

dan keadaan hendaklah tetap tekun berzikir sehinggalah

amalan zikir itu menjadi sifat yang lazim bagi hati.

Semoga Allah Memberikan Taufiq.

----------------------

ZIKIR NAFI ITSBAT

----------------------

PARA Masyaikh Naqshbandiyah seterusnya akan

mentalqinkan Zikir Nafi Itsbat kepada murid setelah mereka

melakukan Zikir Ismu Zat dengan sempurna. Adapun Zikir

Nafi Itsbat itu adalah zikir kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH

dalam bilangan yang ganjil dengan keadaan menahan nafas

dan disertai kalimah MUHAMMADUR RASULULLAH ketika

melepaskan nafas. Kaifiat cara melakukan zikir Nafi Itsbat

adalah seperti berikut, iaitu hendaklah menahan Nafas di

bawah pusat dan tongkatkan lidah ke langit-langit. Dengan

menggunakan lidah hati, hendaklah menyebut lafaz LA

dengan menariknya dari pusat hinggalah ke otak dan ketika

menyebut lafaz ILAHA hendaklah membawanya ke arah bahu

kanan dan ketika menyebut lafaz ILLA ALLAH hendaklah

dipalukan ke hati dengan merasakan kesannya terhadap

kelima-lima Lataif Alam Amar. (Lihat Rajah 4) Kesan paluan

itu juga hendaklah dirasakan ke seluruh anggota tubuh badan

yang mewakili kelima-lima Lataif Alam Khalaq. Sewaktu

menyebut kalimah yang mulia ini hendaklah memahami akan

makna dan pengertiannya iaitu,

“Daku tidak bermaksud kepada selain dari Zat Allah Yang

Maha Suci”.

Adalah menjadi syarat sewaktu melakukan Zikir Nafi,

hendaklah menafikan kewujudan diri dan sekelian yang

wujud manakala ketika Zikir Itsbat, hendaklah mengitsbatkan

hanya Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang Maha Suci. Zikir

ini hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiam diri dengan

tidak menggerakkan sebarang anggota tubuh badan.

Jika murid tidak dapat menahan nafas kerana sukar

maka hendaklah berzikir dengan tanpa menahan nafas kerana

menahan nafas bukanlah syarat. Walaubagaimanapun,

berzikir sambil menahan nafas amatlah berfaedah kerana

dengannya hati akan terasa kepanasan zikir lalu menjadikan

hati itu lembut dan mampu menepis sebarang khayalan di

samping melahirkan rasa Shauq, Zauq dan Cinta Mahabbah.

Dengan berzikir secara menahan nafas ini juga akan

memungkinkan seseorang murid itu dapat mencapai Kashaf.

Zikir Nafi Itsbat ini hendaklah dilakukan dalam jumlah

bilangan yang ganjil di dalam satu nafas dan ini dikenali

sebagai Wuquf ‘Adadi kerana murid perlu memerhatikan dan

berjaga-jaga terhadap bilangan yang ganjil.

Para Masyaikh berkata bahawa Wuquf ‘Adadi

merupakan matapelajaran awal dalam Ilmu Laduni yang

mana dengan mengamalkannya seseorang itu akan

memperolehi Kaifiat Ilmu serta Ilmu itu sendiri. Memohon

rahsia-rahsia Kashaf adalah menerusi zikir seperti ini yang

mana ianya diriwayatkan bersumber dari Hadhrat Khidhzr

‘Alaihissalam.

Sebaik-baiknya dalam satu nafas dapat menyebut 21

atau 23 atau 25 kali Zikir Nafi Itsbat. Ketika melepaskan nafas

hendaklah menyebut lafaz MUHAMMADUR RASULULLAH

di dalam hati. Setelah berzikir beberapa lama hendaklah

menyebut lafaz Baz Gasht di dalam hati beberapa kali dengan

merendahkan diri dan dengan penuh pengharapan iaitu

melafazkan:

“Ilahi Anta Maqsudi, Wa Ridhoka Matlubi”

dalam Bahasa Arab yang pengertiannya dalam Bahasa Melayu

adalah seperti berikut:

“Ya Tuhanku, Engkaulah maksudku dan keredhaan-Mu lah

yang ku tuntut”.

Murid hendaklah melazimkan zikir dalam setiap

keadaannya sama ada sedang berjalan, berdiri, berbaring,

bangun, duduk, makan, minum dan pada setiap masa dan

waktu dengan sentiasa memerhatikan keadaan hati dengan

melakukan Nigah Dasyat dan Wuquf Qalbi supaya dapat

menghasilkan penyucian batin dan melahirkan kehadiran dan

tawajjuh hati terhadap Zat Allah Ta’ala.

Antara tanda-tanda penyucian batin di kalangan Ahli

Kashaf ialah terzahirnya cahaya-cahaya Nur pada setiap

Latifah dan mengalami Musyahadah. Jika seseorang penuntut

itu tidak memperolehi sebarang manafaat dan kesan

sepertimana yang telah dijelaskan maka amalannya adalah

terbatal dan sia-sia serta tidak termasuk ke dalam golongan

Ahli Tariqat. Hendaklah dia mengulangi semua amalannya

semula dengan memerhatikan kesemua syarat-syaratnya

dengan baik.

Para Masyaikh Naqshband telah menerangkan cahaya

Nur yang berbeza-beza bagi setiap Latifah. Adapun Nur Qalb

adalah Kuning, dan Nur Ruh adalah Merah, dan Nur Sir

adalah Putih, dan Nur Khafi adalah Hitam, dan Nur Akhfa

adalah Hijau. Apabila penuntut menyaksikan Musyahadah

cahaya-cahaya Nur ini di luar dirinya maka ianya disebut

sebagai Sair Afaqi dan jika dia melihat dan merasakan cahayacahaya

Nur ini di dalam diri batinnya maka ia dikatakan

sebagai Sair Anfusi.

Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah

‘Alaih telah berkata bahawa Sair Afaqi adalah dari bawah

‘Arash sehinggalah sebawah-bawahnya dan Sair Anfusi pula

adalah dari atas ‘Arash sehinggalah seatas-atasnya yakni

apabila seseorang Salik itu bertawajjuh dari dirinya sehingga

ke ‘Arash maka ia adalah Sair Afaqi dan apabila Salik itu

tawajjuhnya tertarik ke bahagian atas ‘Arash maka di situlah

permulaan Sair Anfusi bagi dirinya.

Para Ahli Kashaf boleh melihat sendiri cahaya-cahaya

Nur dalam Musyahadah mereka dan boleh memilih sendiri

untuk melakukan mana-mana Sair Afaqi mahupun Anfusi.

Walaubagaimanapun, dalam zaman ini pemakanan yang halal

sukar diperolehi maka ahli-ahli Kashaf ‘Ayani juga turut

berkurangan. Terdapat dua jenis Kashaf iaitu Kashaf ‘Ayani

dan Kashaf Wijdani. Perbezaan di antara dua jenis Kashaf ini

ialah seseorang yang memiliki Kashaf ‘Ayani dapat melihat

dan Musyahadah secara zahir dan jelas perjalanan dari suatu

maqam ke maqam yang lain dan menyaksikan pergerakannya.

Ahli Kashaf Wijdani pula tidak dapat melihat dan

menyaksikan sebarang perjalanan dan pergerakan dari suatu

maqam ke maqam yang lain tetapi hal ehwal keadaannya dan

Warid hasil perubahan dalam dirinya dapat dirasakannya

seperti perumpamaan angin yang berhembus, secara zahirnya

ia tidak dapat dilihat tetapi dengan keupayaan deria rasa kita

dapat merasai kuat dan lembutnya hembusan angin.

Seandainya seseorang penuntut itu langsung tidak

dapat merasai perubahan dalam dirinya menerusi Kashaf

‘Ayani mahupun menerusi Kashaf Wijdani, maka

mengkhabarkan tentang maqam-maqam Latifah dan

perkhabaran baiknya adalah seumpama menyebarkan

keburukan nama perjalanan Tariqat.



Semoga Allah mengurniakan kita Kashaf dan memelihara kita

dari sebarang keburukan, Amin!

Adapun, jalan yang kedua adalah dengan cara Muraqabah

yang akan faqir jelaskan pada lembaran-lembaran seterusnya.



--------------------------

-------

KAIFIYAT ZIKIR NAFI ITSBAT

--------------------------

-------

1. Istighfar - 25x [Astaghfirullaha Robbi Min Kulli Zanbin Wa

Atubu Ilaihi]

2. Alhamdu Syarif - 1x [Surah Al-Fatihah dengan A’uzubillah

dan Bismillah]

3. Qul Huwa Allah - 3x [Surah Al-Ikhlas dengan Bismillah]

4. Hadiahkan pahala bacaan tersebut kepada sekelian Arwah

Para Masyaikh: - [Ucapkan, “Ya Allah! Telah ku hadiahkan

seumpama pahala bacaan Fatihah dan Qul Hu Allah

kepada sekelian Arwah Muqaddasah Masyaikh Kibaar

Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah”]

5. Bayangkan hadirnya Maut: - [Ucapkan dalam hati, "Aku

sudah mati, dimandikan orang, dikapankan orang,

disembahyangkan orang, dihantarkan orang jenazah aku ke

dalam liang lahad”]

6. Buang nafas dan tahan di bawah pusat serta tongkatkan

lidah ke langit-langit. Hati mengucapkan LA sambil

menariknya dari pusat hinggalah ke otak dan ketika

menyebut lafaz ILAHA hendaklah membawanya ke arah

bahu kanan dan ketika menyebut lafaz ILLA ALLAH

hendaklah dipalukan ke hati dengan merasakan kesannya

terhadap kesemua Lataif Alam Amar dan Alam Khalaq

tanpa menggerakkan lidah dan anggota tubuh badan. Zikir

dalam bilangan ganjil dan ketika hendak melepaskan nafas

ucapkan MUHAMMADUR RASULULLAH.

7. Tawajjuhkan diri terhadap hati dan hati bertawajjuh kepada

Allah Taala. Ini adalah Wuquf Qalbi.

8. Sentiasa Muraqabah dengan mengkhayalkan limpahan

Faidhz dari Allah Ta’ala jatuh ke hati kita.

9. Sesudah beberapa lama kemudian, ucapkan dalam hati

dengan rasa rendah diri dan mengharap dengan ucapan

Baz Gasht : -

• “Ilahi Anta Maqsudi Wa Ridhoka Matlubi, A’tini

Mahabbataka Wa Ma’rifataka” - [Arab] atau,

• “Khudawanda! Maqsudi Man Tui Wa Ridhoi Tu, Mahabbat

Wa Ma'rifati Khud Badih” - [Parsi] yang bermaksud,

• “Ya Tuhanku! Maksudku hanyalah Engkau dan Keredhaan

Mu, Kurniakanlah Cinta dan Ma'rifat Mu”

• Wuquf Qalbi dan Baz Gasht adalah di antara syarat-syarat

Zikir. Jika berwudhuk sangatlah besar faedahnya namun ia

bukanlah syarat. Begitu juga menahan nafas bukanlah

syarat namun mengandungi rahsia dan faedah yang amat

besar.

10. Pada waktu kelapangan samada dalam satu majlis atau

majlis yang berbilang-bilang, hendaklah mengerjakan zikir

ini sebanyak 2 ribu kali sehari semalam, lebih kurang dalam

dua jam untuk dilakukan.

11. Begitulah ketika berjalan, berbaring, bangun dan

duduk, samada berwudhuk ataupun tidak, setiap waktu

dan keadaan hendaklah tetap tekun berzikir sehinggalah

amalan zikir itu menjadi sifat yang lazim bagi hati.

Semoga Allah Memberikan Taufiq.



-------------------

FADHILAT ZIKIR

-------------------

AMALAN Zikir memiliki berbagai kelebihan sepertimana yang

masyhur dinyatakan dalam kitab-kitab Hadits. Hadhrat Hafiz

Ibnul Qayyim Rahmatullah ‘alaih yang merupakan seorang

‘Ulama Hadits telah menyatakan berbagai-bagai penjelasan

mengenai kelebihan Zikir. Beliau menyatakan terdapat lebih

dari seratus faedah yang dapat diperolehi menerusi amalan

Zikir dan telah beliau nukilkan sebanyak tujuh puluh

sembilan faedah di dalam sebuah risalah yang bertajuk Al-

Wabil. Hadhrat Maulana Muhammad Zakaria Al-Kandahlawi

Rahmatullah ‘alaih telah meyalin faedah-faedah itu satu

persatu secara ringkas dalam kitabnya Fadhail Zikir dan

hamba pun menyalinnya sebagai berikut:

1. Zikir adalah menjauhkan Syaitan dan menghancurkan

kekuatannya.

2. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala

redha.

3. Zikir adalah menjauhkan dukacita daripada hati manusia.

4. Zikir adalah menggembirakan hati.

5. Zikir adalah menguatkan badan dan menyeronokkan

sanubari.

6. Zikir adalah sinaran hati dan muka.

7. Zikir adalah menyebabkan datangnya rezeki dengan

mencurah-curah yakni memurahkan rezeki.

8. Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada

kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang

wajahnya seseorang merasa gentar.

9. Zikir adalah melahirkan cinta sejati terhadap Allah

Subhanahu Wa Ta’ala kerana cinta itulah merupakan Ruh

Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan.

Barang siapa ingin mendapatkan cinta Ilahi itu maka

hendaklah dia berzikir sebanyak-banyaknya.

Sebagaimana mutala’ah dan muzakarah itu merupakan

pintu kejayaan ilmu, demikianlah Zikrullah itu

merupakan pintu Cinta Ilahi.

10. Zikir adalah mendatangkan hakikat Muraqabah dan

Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat

Ihsan. Denganadanya martabat Ihsan maka manusia

dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang

seolah-olah dia melihatNya dan keadaan seperti inilah

yang merupakan tujuan asasi daripada perjuangan Para

Sufi.

11. Zikir adalah membawa seseorang kepada penyerahan diri

dengan sebulat-bulatnya kepada Allah. Dengan ini lama

kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan

Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadi pelindung dan

pembantu baginya.

12. Zikir adalah membawa seseorang kepada Taqarrub yakni

mendekatkan diri kepada Allah. Jika zikir itu bertambah

banyak maka dengan sendirinya dia bertambah dekat

kepada Allah dan sebaliknya jika dia bertambah lalai

daripada berzikir maka dengan sendirinya dia bertambah

jauh daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

13. Zikir adalah membukakan pintu Ma’rifat Allah

Subhanahu Wa Ta’ala.

14. Zikir adalah melahirkan di dalam hati seseorang akan

keagungan dan kehebatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala

dan melahirkan semangat buat merapatkan diri

denganNya.

15. Zikir adalah menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta’ala

ingat kepada seseorang yang ingat kepadaNya

sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran:

“Fazkuruni Azkurkum.” Ertinya: Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu

nescaya Aku ingat pula kepadamu. Dan diterangkan pula

di dalam Hadits: “Man Zakarani Fi Nafsihi, Zakrtuhu Fi

Nafsi.” Ertinya: Barangsiapa mengingati Aku di dalam

hatinya, nescaya Aku mengingatinya pula di dalam

hatiKu.”

16. Zikir adalah menghidupkan hati. Hafiz Ibnu Taimiyah

Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa perbandingan

Zikrullah dengan hati seseorang adalah ibarat ikan

dengan air. Ingatlah, apakah halnya ikan itu jika ia tidak

berada di dalam air?

17. Zikir adalah santapan bagi Ruh dan Hati. Andaikata jika

kedua-duanya tidak dapat menikmati santapannya maka

adalah sama seperti badan yang tidak dapat makanannya.

18. Zikir adalah membersihkan hati daripada karat

kekotorannya sepertimana diterangkan di dalam Hadits

bahawa tiap-tiap sesuatu ada daki dan kekotoran

baginya. Daki dan kekotoran hati ialah keinginan dan

kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan

berzikir.

19. Zikir adalah menghapuskan dosa dan maksiat.

20. Zikir adalah menghapuskan keraguan dari seseorang

terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebenarnya hati

orang yang lalai itu diselubungi oleh rasa ragu atau

gelisah terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ianya dapat

dihapuskan hanya oleh Zikrullah.

21. Orang yang berzikir dengan mensucikan Allah

Subhanahu Wa Ta’ala, memujiNya, mengagungkanNya

dan mengesakanNya, maka kalimah-kalimah zikirnya itu

akan berpusing-pusing mengelilingi ‘Arash Allah

Subhanahu Wa Ta’ala sambil menyebut nama penzikir itu

dengan suara yang perlahan.

22. Barangsiapa ingat kepada Allah dalam kesenangan, Allah

Subhanahu Wa Ta’ala ingat pula kepadanya dalam

kesusahan.

23. Zikir adalah melepaskan orang yang berzikir itu daripada

azab Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

24. Zikir adalah menyebabkan turunnya Sakinah ketenangan

dan Para Malaikat melingkungi orang-orang yang

berzikir itu.

25. Zikir adalah menyebabkan selamatnya lidah seseorang

yang berzikir itu daripada mengumpat, mencela, berdusta,

maki hamun dan bercakap yang sia-sia. Telah dibuktikan

oleh kenyataan bahawa barangsipa yang membiasakan

lidahnya dengan berzikir maka terselamatlah daripada

sifat-sifat yang keji. Sebaliknya orang yang tidak biasa

dengan zikir maka dengan sendirinya dia terlibat di

dalam keburukan dan sifat-sifat yang keji itu.

26. Majlis-majlis zikir adalah seperti majlis Para Malaikat

sebaliknya majlis kelalaian yakni majlis yang pesertapesertanya

lalai daripada berzikir adalah seperti majlis

Syaitan. Kini terserah kepada manusia, sertailah majlis

mana yang suka. Menururt kebiasaan manusia sukakan

akan sesuatu yang sesuai dengan sikap dan perangainya.

27. Zikir adalah memasukkan orang-orang yang berzikir itu

ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan

demikian juga mereka yang mendampinginya. Sebaliknya

orang-orang yang lalai dan membuat kerja-kerja yang siasia

adalah tercampak ke dalam kancah kecelakaan.

Demikian juga orang-orang yang menyertai mereka itu.

28. Zikir akan memelihara seseorang yang berzikir daripada

menyesal pada Hari Qiyamat. Di dalam Hadits ada

disebutkan bahawa majlis-majlis yang terkosong daripada

Zikrullah menyebabkan mendapat kerugian dan

menyesal pada Hari Qiyamat.

29. Jika seseorang yang berzikir sambil menangis-nangis

dalam keadaan sunyi diri maka pada Hari Qiyamat dia

akan ditempatkan di bawah naungan ‘Arash Ilahi di

mana manusia akan berteriak dan menjerit-jerit kerana

kepanasan hari yang amat dahsyat itu.

30. Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur

melainkan dengan Zikrullah.

31. Zikrullah adalah merupakan pohon di dalam Syurga.

32. Segala-gala amalan adalah diwajibkan semata-mata

kerana Zikrullah.

33. Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir maka

Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kepadanya

lebih daripada orang yang meminta kepadaNya. Di

dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah

Subhanahu Wa Ta’ala berfirman: “Barangsiapa yang

tertahan oleh zikirKu daripada berdoa nescaya Aku

berikan kepadanya lebih daripada yang Aku berikan

kepada orang-orang yang berdoa.”

34. Sungguhpun zikir merupakan suatu ibadat yang ringan

dan mudah sekali namun ia adalah lebih afdhal dan

utama daripada seluruh ibadat kerana menggerakkan

lidah itu lebih mudah daripada menggerakkan seluruh

badan.

35. Nikmat dan kekurniaan yang diberikan Allah kepada

seseorang kerana zikir tidaklah diberikan kerana amalamal

yang lain yang mana diterangkan di dalam mafhum

sebuah Hadits: “Barangsiapa yang membaca kalimah: La

Ilaha Illa Allahu Wahdahu La Syarikalahu, Lahul Mulk

Wa Lahul Hamd, Wa Huwa ‘Ala Kulli Syai in Qadir,

sebanyak seratus kali pada suatu hari maka Allah

memberikan pahala kepadanya yang seimbangan

dengan memerdekakan sepuluh hamba sahaya dan

dicatitkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan,

dihapuskan daripadanya seratus dosa, dipelihara

daripada godaan Syaitan dan tidak sesiapa pun yang

lebih afdhal daripadanya kecuali orang yang amalanamalannya

telah melebihi.”

36. Seseorang yang berzikir berterusan dengan secara

Istiqamah, dia akan terselamat daripada melupakan

dirinya yang menyebabkan kecelakaan Dunia dan

Akhirat, kerana melupakan diri sendiri dan muslihatmuslihatnya

bererti melupakan Tuhan dan yang

melupakan Tuhan nescaya akan tercampak ke dalam

kancah kerugian. Diperingatkan oleh Allah di dalam

Kitab Suci Al-Quran pada Surah Al-Hasyar ayat 19 yang

ertinya: “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang

lupa kepada Allah lalu Allah menjadikan kamu seperti

orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri.

Mereka itulah orang-orang yang fasik.” Yakni janganlah

kamu menyerupai orang-orang yang tidak menghiraukan

Allah, lantas Allah menjadikan mereka tidak

menghiraukan diri mereka sendiri yakni akal fikiran

mereka dilemahkan sehingga mereka tidak dapat

menjalani jalan yang menuju ke arah kejayaan yang

hakiki kerana apabila manusia melupakan dirinya maka

dengan sendirinya dia terlalai daripada muslihatmuslihatnya

dan akhirnya dia akan menjadi mengsa

kebinasaan. Sepertimana seorang petani yang melupakan

sawah atau ladangnya, tidak menghiraukannya sedikit

pun. Maka tentulah sawah atau ladangnya itu tidak akan

mendatangkan hasil apa-apa dan akhirnya keadaan

berubah menjadi belukar.

37. Seseorang akan merasai keamanan dan ketenangan jiwa

manakala dia membasahi lidahnya dengan berzikir

sehingga dia cinta kepada zikir. Sepertimana seorang

yang cinta kepada air ketika dia mengalami dahaga yang

amat sangat atau cinta kepada makanan ketika dia lapar

ataupun cinta kepada pakaian dan rumah kediaman

semasa dia merasai panas atau dingin yang amat sangat,

bahkan Zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika

segala-gala yang disebutkan itu tidak tersedia, maka

tubuh ksar manusia saja mengalami kebinasaan

sedangkan tanpa zikir, Ruh dan Hati juga akan

mengalami kebinasaan.

38. Zikir adalah merupakan suatu pohon yang setiap masa

mendatangkan buah Ma’rifat. Menururt istilah ‘Ulama

Tasawwuf, pohon itu mendatangkan buah Ahwal dan

Maqamat. Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin

akar pohon itu terkukuh dan semakin akarnya kukuh

semakin pohon itu mengeluarkan buah-buahannya.

39. Zikir adalah sumber syukur. Barangsiapa yang tidak

mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dia tidak dapat

bersyukur kepadaNya.

40. Dengan zikir, seseorang manusia mencapai kemajuan dan

kejayaan dengan secara terus menerus ketika dia

beristirehat ataupun berada di pasar, ketika dia sihat

ataupun sakit, ketika dia sibuk dengan mengecap

kenikmatan hidup ataupun berada dalam serba

kekurangan. Pada setiap masa dan dalam setiap keadaan

dia mencapai kejayaan. Tiada suatu apa pun yang

menyebabkan dia mencapai kemajuan dengan secra terus

menerus kecuali dengan zikir. Jika hatinya telah bersinar

dengan sinaran zikir, maka dalam setiap keadaan dia

meningkat ke martabat yang setinggi-tingginya.

41. Zikir adalah intisari Ilmu Tasawwuf yang diamalkan oleh

setiap Ahli Tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi

seseorang bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju

kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Barangsiapa yang

telah menuju kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala nescaya

dia telah mendapat segala-gala yang dikehendakinya

kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Allah

Subhanahu Wa Ta’ala.

42. Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur

dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa

manusia tidak sedar maka selama itulah dia mengalami

kerugian demi kerugian.

43. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan saja ia

menyubur ke bahagian hati itu sahaja bahkan ia

menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan

makmur walaupun dia tidak berharta benda,

memuliakannya walaupun dia tidak berkeluarga dan

menjadikannya penguasa walaupun dia tidak

mempunyai kerajaan. Sebaliknya orang yang lalai

daripada zikir pasti dia akan dihinakan walaupun dia

mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan

yang besar.

44. Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai

dan menseraikan yang telah terhimpun, mendekatkan

yang jauh dan menjauhkan yang dekat, yakni hati

manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan,

dukacita dan kegelisahan itu semuanya dilenyapkan sama

sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa

dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatanperbuatan

yang keji itu dibersihkan dan manusia yang

senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera

Syaitan itu diceraikan daripadanya dan Akhirat yang jauh

itu didekatkan dan Dunia yang dekat itu dijauhkan dari

jiwa manusia.

45. Zikir adalah mendekatkan kepada Zat yang zikirnya

dikerjakan sehingga mendapat penyertaan denganNya

sebagaimana diterangkan di dalam Al-Quran, “Inna

Allaha Ma’allazi Nattaqau,” yang bererti: Sesungguhnya

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berserta orang-orang yang

bertaqwa. Diterangkan di dalam satu Hadits Qudsi, “Ana

Ma’a ‘Abdi Ma Zakarani,” ertinya: Adalah Aku

menyertai hambaKu selama dia mengingati Aku. Di

dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa Allah

Subhanahu Wa Ta’ala berfirman, “Orang yang

mengingati Aku itu adalah orang Aku. Aku tidak

menjauhkannya daripada RahmatKu. Jika mereka

bertaubat dari dosa-dosa mereka, maka Aku menjadi

Kekasih bagi mereka tetapi sebaliknya jika mereka tidak

bertaubat maka Aku menjadi Jururawat bagi mereka lalu

Aku mencampakkan mereka ke alam kancah penderitaan

supaya Aku membersihkan mereka daripada dosa-dosa.”

46. Penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang dicapai

menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok

bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin

dicatit dan tidak pula mungkin dibicarakan. Kelazatannya

dengan ertikata yang sebenarnya boleh dirasai hanya oleh

orang yang telah mencapainya. Ya Allah, berikanlah

kepadaku barang sedikit daripada kenikmatanNya.

47. Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba,

seimbang dengan membelanjakan harta dan seimbang

pula dengan berjuang pada Jalan Allah.

48. Di dalam sebuah Hadits ada diberitakan bahawa Hadhrat

Musa ‘Alaihissalam pernah berkata kepada Allah

Subhanahu Wa Ta’ala: “Ya Allah, Engkau telah

menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat

banyak maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur

kepadaMu.” Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman

kepadanya: “Sebanyak yang engkau berzikir sebanyak

itulah engkau dapat bersyukur.”

49. Di dalam Hadits yang lain diterangkan bahawa Hadhrat

Musa ‘Alaihissalam memohon kepada Allah Subhanahu

Wa Ta’ala: “Ya Allah! Bagaimanakah cara bersyukur

yang sesuai dengan keadaanMu yang terunggul?” Allah

Subhanahu Wa Ta’ala berfirman: “Hendaklah lidahmu

senantiasa dibasahi dengan berzikir.”

50. Yang paling mulia di antara orang-orang yang bertaqwa

pada sisi Allah ialah yang senantiasa sibuk dengan

berzikir kerana natijah Taqwa ialah Syurga sedangkan

natijah zikir ialah penyertaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

51. Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada

berubah menjadi lembut melainkan dengan berzikir.

52. Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah

sebaliknya lalai adalah sumber permusuhan denganNya.

53. Tiadalah satu apapun yang menambahkan nikmat-nikmat

Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menyelamatkan

daripada azabNya lebih daripada Zikrullah.

54. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menurunkan RahmatNya

kepada orang-orang yang berzikir dan Para Malaikat

berdoa untuk mereka.

55. Barangsiapa yang ingin menikmati Syurga sedangkan dia

masih berada di dalam Dunia ini maka hendaklah dia

menyertai majlis-majlis zikir kerana majlis-majlis zikir itu

adalah seumpama taman-taman Syurga.

56. Barangsiapa senantiasa berzikir, dia akan memasuki

syurga sambil tersenyum-senyum.

57. Amalan yang paling afdhal ialah amalan yang disertai

dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang afdhal

sekali ialah puasa yang disertai dengan berzikir sebanyakbanyaknya.

Haji yang afdhal ialah haji yang disertai

dengan zikir sebanyak-banyaknya dan demikianlah Jihad

serta amalan-amalan yang lainnya.

58. Zikir adalah pengganti kepada ibadat-ibadat Nafilah.

Sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadits

bahawa segolongan orang-orang miskin datang lalu

merayu hal mereka kepada Hadhrat Baginda Rasulullah

Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan berkata, “Ya

Rasulullah, saudara kami yang berharta benda telah

meningkat darjat yang setinggi-tingginya disebabkan

harta kekayaan mereka. Mereka bersembahyang seperti

kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti kami

berpuasa tetapi kerana harta kekayaan, mereka telah

mendahului kami dengan mengerjakan Haji, Umrah,

Jihad dan lain-lainya.” Sebagai menjawab Hadhrat

Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam

bersabda, “Mahukah kamu sekelian ku ajarkan sesuatu

untuk mencapai yang mendahului dan untuk

mendahului sesudah kamu sehingga tiadalah lagi

seorang pun yang lebih afdhal daripada kamu kecuali

orang yang berbuat seperti yang kamu perbuat.”

Selanjutnya Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu

‘Alaihi Wasallam bersabda, “Bacalah kamu sekelian:

Subhanallah Alhamdulillah Allahu Akbar selepas tiaptiap

Solat.” Ini menunjukkan bahawa Hadhrat Baginda

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganggap zikir

ini sebagai pengganti haji, umrah, jihad dan lain-lain bagi

yang tidak berada.

59. Majlis Zikir adalah majlis Para Malaikat.

60. Allah Subhanahu Wa Ta’ala membanggakan orang-orang

yang berzikir di hadapan Para Malaikat.

61. Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati.

62. Zikir adalah pendorong bagi ibadat-ibadat yang lain.

Dengan berzikir sebanyak-banyaknya maka ibadat-ibadat

yang lain itu menjadi mudah dan senang serta kelazatan

ibadat-ibadat itu pun dirasai benar, oleh itu semua ibadat

itu dapat dikerjakan tanpa keberatan dan kesukaran apa-apa.

63. Dengan berzikir semua keberatan akan berubah menjadi

ringan, setiap kesukaran akan berubah menjadi senang,

setiap bebanan menjadi ringan dan semua bala bencana

akan terlenyap.

64. Lantaran zikirlah maka segala rupa ketakutan dan

kebimbangan akan terhindar.

65. Zikrullah adalah mempunyai kuasa yang terkhas untuk

melahirkan ketenteraman dan untuk melenyapkan

ketakutan. Ianya mempunyai kesan yang teristimewa di

mana semakin berzikir sebanyak-banyaknya semakin

itulah akan mencapai ketenteraman dan akan lenyap

ketakutan.

66. Zikir adalah melahirkan kekuatan dan tenaga yang

terkhas kepada manusia. Maka dengan kekuatan itu dia

dapat menyelenggarakan urusan-urusan yang agak sukar.

67. Pemberes urusan-urusan keakhiratan adalah dahulumendahului

di antara satu dengan yang lain dan di dalam

mendahului ini yang kelihatan di hadapan sekali ialah

orang-orang yang berzikir. Di dalam sebuah Hadits,

Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu

‘Alaihi Wasallam telah bersabda, “Telah mendahului

mereka yang Munfarrid.” Para Sahabat bertanya,

“Siapakah yang Munfarrid itu Ya Rasulullah?” Baginda

menjawab, “Mereka yang mengingati Allah sebanyakbanyaknya

kerana zikir adalah meringankan bebanan

mereka.”

68. Allah Subhanahu Wa Ta’ala sendiri yang membenarkan

dan menguji orang-orang yang berzikir. Orang-orang

yang dibenarkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu

tidaklah akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang

yang dusta. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan

bahawa apabila seorang hamba mengucapkan: “La Ilaha

Illa Allah Wallahu Akbar,” maka Allah Subhanahu Wa

Ta’ala berfirman, “Benarlah ucapan hambaKu bahawa

tiada Tuhan melainkan Aku dan Akulah Maha Besar.”

69. Zikir adalah menyebabkan terbinanya rumah di dalam

Syurga. Apabila seseorang hamba berhenti daripada

berzikir maka Para malaikat berhenti daripada membina

rumah itu. Manakala mereka ditanyakan, mengapakah

kamu berhenti daripada membina rumah itu? Mereka

menjawab bahawa perbelanjaannya belum lagi tiba.

70. Di dalam sebuah Hadits ada disebutkan bahawa

barangsiapa mengucapkan: “Subhanallahi Wabihamdihi

Subhanallahil ‘Azim” sebanyak tujuh kali nescaya

dibinakan satu menara untuknya di dalam Syurga.

71. Zikir adalah perisai atau pendinding bagi Neraka

Jahannam. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalam

Neraka kerana amal perbuatannya yang tidak baik maka

zikirnya itu menjadi pendinding di antaranya dengan

Neraka Jahannam. Semakin banyak zikir dibuat maka

semakin kuatlah pendinding itu.

72. Jika seseorang yang berzikir di atas sebuah gunung atau

di tanah datar maka tempat tersebut akan merasa amat

bangga. Di dalam sebuah Hadits ada diberitakan bahawa

gunung-ganang bertanya-tanyakan di antara satu dengan

yang lain bahawa hari ini adalah seseorang yang berzikir

melalui di atas engkau. Jika diberitahukan bahawa ada

yang melaluinya sambil berzikir, maka ia berasa gembira

lagi bangga.

73. Nur Zikir adalah sentiasa bersama orang yang berzikir itu

sama ada di Dunia mahupun di dalam Kubur dan ia

memimpin di Titian Sirat. Ia tidak berpisah di mana-mana

pun. Diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di

dalam Kitab Suci al-Quran pada Surah Al-An’am ayat 122

yang bermaksud, “Apakah orang yang sudah mati

kemudian Kami hidupkan dia dan Kami berikan

kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu

dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia,

serupa dengan orang yang keadaannya berada di dalam

gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya?”

Orang pertama itu beriman kepada Allah Subhanahu Wa

Ta’ala yang hatinya bersinar cemerlang dengan cinta

makrifat dan zikirnya sementara orang yang kedua itu

ialah yang terkosong dari sifat-sifat tersebut. Penghasilan

Nur adalah sesuatu yang teragung sekali, ianya

membawa kepada kejayaan yang gilang-gemilang.

74. Para Malaikat beristighfar memohon keampunan bagi

orang yang berzikir. Hadits ada menyebut bahawa

apabila seseorang hamba mengucapkan: Subhanallahi

Wabihamdihi atau Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, maka

Para Malaikat berkata, “Ya Allah, ampunilah dia.”

Adalah termaklum bahawa doa Para Malaikat itu tidak

ditolak malahan terus dikabulkanNya.

75. Memperbanyakkan zikir adalah merupakan sijil bagi

kelepasan dari kemunafikan kerana orang-orang yang

Munafik tiada mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala

melainkan sedikit. Hadhrat Ka’ab Ahbar Radhiyallahu

‘anhu berkata, “Barangsiapa berzikir sebanyakbanyaknya

maka terpelihara dia daripada kemunafikan.”

76. Berbanding dengan amalan-amalan yang baik maka zikir

mempunyai suatu kelazatan yang tidak di dapati pada

amalan-amalan yang lain. Hadhrat Malik bin Dinar

Rahmatullah ‘alaih berkata bahawa seseorang tidak akan

berasa lazat dari suatu apa pun seperti kelazatan zikir.

77. Pada wajah orang yang berzikir itu di dapati kegembiraan

di Dunia dan akan kelihatan Nur padanya di Hari

Qiyamat.

78. Barangsiapa mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala

sebanyak-banyaknya di tengah-tengah jalan, dirumah, di

dalam safar perjalanan dan ketika berada di kampung,

maka dia akan mempunyai pembela-pembela yang ramai

sekali di Hari Hisab kelak.

79. Selama lidah sibuk dengan berzikir maka selama itulah

dia terpelihara daripada perbicaraan yang sia-sia,

berdusta, mengumpat dan sebagainya. Lidah itu

sememangnya tidak mahu diam, ia akan sibuk dengan

berzikir, kalau tidak sudah tentu dengan kesia-siaan.

Demikian juga halnya dengan hati, jika ia tidak sibuk

dengan mencintai Khaliq iaitu Allah Subhanahu Wa

Ta’ala maka sudah tentu dia akan sibuk dengan mencintai

makhluk.

80. Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Ia

mencampakkan manusia di dalam kancah kerunsingan

dan kegelisahan dengan berbagai cara. Ia juga

mengerumuni mereka dari setiap penjuru. Orang yang

halnya sedemikian rupa senantiasa berada di tengahtengah

lingkungan para musuh yang mana tiap-tiap

seorang darinya ingin menimpakan ke atasnya

penderitaan demi penderitaan. Maka tiadalah apa-apa

untuk mematahkan serangan-serangan musuh itu

melainkan Zikrullah.

No comments:

Post a Comment