Saturday, September 11, 2010

Solat lagi

Selepas maghrib fakir bertanya lagi dengan pakcik google kot-kot ada tafsiran solat yang indah untuk ditatap dan difahami.Terjumpa pula dengan satu tulisan yang cantik. Ianya merupakan satu kuliah yang disampaikan oleh pendakwah dari Terengganu. Cantik dan memang cantik tulisannya. Fakir belum menghubungi beliau untuk di copy paste bagaimanapun fakir membuat sedikit petikan dari tulisan beliau. Ceramah yang telah disampaikan telah ditulis dalam tiga siri. Terdapat persamaan yang cukup banyak dengan apa yang telah disampaikan oleh sahabat(yang fakir anggap sebagai guru) fakir.Untuk membaca sepenuhnya sila ke sini.

HAKIKAT SOLAT BERDASARKAN ISRA' DAN MI'RAJ

Dalam Isra dan Mi’raj Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah diperjalankan dari Mekah ke Baitul Muqaddis hingga ke Sidratul Muntaha. Dalam solat, kita juga melakukan isra’ dan mi’raj 5 kali sehari semalam. Apakah isyarat peristiwa ini dengan solat yang kita lakukan?

Mekah ketika itu yang dipenuhi patung-patung berhala ditafsirkn ulama sufi sebagai jasmani, tempat yang penuh zulmah. Dari Mekah berpindah ke Baitul Muqaddis yang menjadi tempat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengimamkan solat yang para Nabi dan Rasul menjadi makmumnya, yakni berpindah dari alam jasmani ke alam rohani. Kemudian berpindah ke Sidratul Muntaha menghadap Allah dengan makna rohani itu bermuraqabah dan bermusyahadah dengan Allah.

Maka dalam solat kita, mesti isra’kan iaitu isra’kan jasmani menjadi rohani dan kita mesti mi’rajkan rohani ke Sidratul Muntaha dalam bermusyahadah dengan Allah. Kalau tiada lakukan hal tersebut maka ia dikatakan solat syariat yang tiada hakikat, maka solat demikian tiada nilai di sisi Allah. Tanda ditolak Allah ialah solatnya itu tak ubah sifat batin dan akhlaknya, walaupun ia dilakukan dengan rajin dan penuh tekun. Solat tanpa hakikat rohani itu tiada mendatangkan cahaya pada qalbinya menyebabkan tidak berlaku perubahan dirinya, bahkan ia semakin jauh dari Allah.

Allah berfirman :
“… Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut: 45)

Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :
Siapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya’ dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya.(Riwayat Tabrani dari Ibnu Abbas)

Bila kita takbiratul ihram, “Allahu Akbar” bermakna kita telah berpindah dari alam jasmani ke alam rohani. Maksudnya selepas takbir, kita tidak dibenarkan lagi melakukan pekerjaan jasmani, tiada boleh makan, minum dan lain-lain perbuatan badaniah. Adapun qalbi tiada boleh lagi mengingati hal-hal duniawi, akal juga tiada boleh berkhayal kepada perkara-perkara lain, kerana kita sudah berpindah dari jasmani kepada rohani, dari alam dunia ke alam rohani untuk muraqabah dan musyahadah dengan Allah.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment