Friday, November 11, 2011

Hakikat hubungan manusia dengan Allah ..

Jikalau kita perhatikan hubungan hakikat manusia dan hakikat Allah, ia suatu hubungan yang sangat erat dan amat mesra, seolah-olah dua nama bagi menunjukkan satu wujud.

Hubungan yang amat erat itu,umpama hubungan yang terjalin antara ruh dan jasad, sangat erat dan tidak dapat dipisahkan.Kerana eratnya hubungan itu,kewujudan Allah tidak akan diketahui tanpa wujudnya manusia,dan manusia tidak akan ada jikalau tidak wujud Allah.Manusia adalah maujud (yang menunjukkan) kepada yang wujud.

Dengan itu kewujudan manusia adalah bagi menunjukkan kewujudan Allah,dan Allah menjadikan manusia untuk menunjukkan keadaan-Nya dan dan Kekuasaan-Nya.

Persoalannya mengapa Allah yang menjadi Tuhan dan Nur Muhammad (ruh) menjadi hamba,ini kerana ia telah termaktub di dalam perjanjian yang telah dibuat antara Allah dan Nur Muhammad, yang mewakili sekelian ruh.

Perjanjian itu yang dibuat di Alam Ruh,ia adalah bersifat kekal dan tidak boleh ditukar-tukar lagi.Semasa di Alam Ruh,ruh telah berjanji dengan Allah,atau perjanjian antara Nur Allah dan Nur Muhammad,atau perjanjian antara Dzat dengan Sifat .. dalam perjanjian itu Nur Muhammad telah memperakui Dzat sebagai Tuhan dan Nur Muhammad sendiri sebagai hamba ..

Perjanjian itu seperti di dalam firman Allah :

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka,dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri,(sambil Ia bertanya dengan firmanNya):
"Bukankah Aku tuhan kamu ?"
Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami),kami menjadi saksi".
Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak:
"Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." - (Al-A'raaf:172)

Apabila Nur Muhammad memperakui Dzat adalah Tuhannya,maka secara semula jadi ruh perlu mengingati (berzikir) kepada Allah.

Itulah sebabnya ruh diberi jasad supaya dapat menzahirkan diri Rahsia Dzat, diri yang sebenar-benar diri,iaitu diri batin kepada manusia.Pentingnya perjanjian itu adalah, tanpa perjanjian itu ruh tidak akan mempunyai jasad dan Dzat Allah tidak akan wujud dalam ingatan (dzikir).

Oleh itu ruh perlu mengingat Dzat,yang Zahir memuji yang ghaib (Batin).Jikalau manusia tidak berzikir atau mengingati Allah,maka kewujudan Allah tidak akan nyata, Dzat akan ‘hilang’ dalam keghaiban dengan begitu sahaja.

Allah berfirman :
"(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu),samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad),yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu,dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat),dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan,dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu),supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan;dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)." - (Al-Baqarah:151-152)

Secara tidak langsung tujuan Allah memberikan jasad kepada ruh adalah untuk mengingatkan manusia tentang DzatNya,iaitu Tuhan semesta alam agar dapat mengingatkan bahawa setiap yang wujud di dunia ini adalah berasal daripada Dzat Allah.

Tanpa adanya Diri Rahsia Allah (…maka Ku tiupkan RuhKu) pada manusia,adalah mustahil manusia wujud seperti yang ada sekarang ini.

Kesimpulannya kita beribadah dan berzikir (mengingati Allah) adalah untuk mengingatkan diri kita sendiri (manusia) bahawa ruh kita ini sebenarnya berasal dari Dzat Allah, dan dengan itu perlu mengingati Dzat Allah,iaitu Diri yang sebenar-benar Diri.

Tetapi, walaupun telah mencapai makam Keesaan,…..hamba tetap hamba,kerana Tuhan tidak suka kepada yang menyombong diri ....

Alhamdulillah ... semoga bermanfaat .... Insya Allah ..

No comments:

Post a Comment